Pengendalinya, Mohd. Nidzam Jamil nyata gembira dengan kesungguhan dan semangat juang tinggi dipamerkan pemain hingga berjaya membuahkan hasil untuk mengutip tiga mata penting.

Beliau berkata kemenangan itu juga dilihat menjadikan Kumpulan D lebih mencabar bagi semua pasukan dan berharap tempoh tiga minggu sebelum baki dua perlawanan digunakan sebaiknya untuk meningkatkan prestasi dan mencari mata maksimum.

“Saya gembira dengan sikap pemain, kita kalah di tempat sendiri tetapi kita cuba bersaing dengan Melaka dan berjaya menang di sini menyebabkan peluang Felda United masih terbuka dan sebagai orang yang terlibat dalam bola sepak, kita tidak mahu berserah pada nasib sahaja.

“Mungkin masalah kecederaan beberapa pemain lawan memberi kelebihan tetapi pemain-pemain kami seperti Khairul Amri, Hadin Azman, Daniel Amier Norhisham, S. Chanturu, Jasazrin Jamaluddin terutamanya serta lain-lain telah mengubah corak permainan dan kita beruntung ada mereka yang tahu bila waktu getir untuk menang, ia telah banyak kali berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan tahun 2002 hingga 2003 itu berkata, kemenangan itu juga membangkitkan semangat pasukannya walaupun tidak diberi harapan kerana dibarisi hampir 90 peratus pemain baharu selain bergelut untuk kekal dalam saingan Liga Super.

“Sebelum perlawanan malam ini, saya telah berkata kepada mereka, semua telah beri terbaik dan saya tidak boleh minta lebih daripada itu, tetapi kami masih ada peluang dan berharap saudara mara di Jengka dapat hadir memberi sokongan untuk aksi di tempat sendiri nanti bagi meraih mata,” katanya yang membuat penampilan sulung sebagai ketua jurulatih dalam kempen Piala Malaysia.

Terdahulu, dalam perlawanan itu, Melaka United terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import, Luka Milunovic pada minit ke-37 sebelum Hadin menyamakan kedudukan pada tambahan waktu separuh masa pertama.

Melaka United yang tempang tanpa beberapa pemain utama beraksi agak longgar menyebabkan Felda United memanfaatkan peluang menerusi gol Daniel Amier pada minit ke-69 sebelum empat minit kemudian Hadin menambah jaringan selepas menyempurnakan sepakan penalti dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Kumpulan D menyaksikan saingan kembali sengit selepas Melaka United dan Selangor berkongsi enam mata, diikuti PDRM FA dengan lima mata dan Felda United empat mata. - BERNAMA