HARRY KANE - AFP

Shearer berkata kapten England itu tidak cergas sepenuhnya dan sepatutnya Lucas Moura menjadi pilihan Spurs untuk diturunkan pada aksi yang berkesudahan Liverpool menang 2-0.

Dalam tulisannya di ruangan kolum media Britain, The Sun, Shearer menyalahkan Pochettino kerana membenarkan Kane memulakan perlawanan tersebut.

“Saya yakin Pochettino bimbang sama ada mahu meletakkan Harry Kane dalam kesebelasan utama atau tidak namun dia membuat keputusan yang salah.

“Kane kelihatan tidak cergas langsung dan tidak menjadi di Madrid malah dia juga tidak tajam seperti biasa.

“Dia mungkin tidak beraksi dalam final Liga Juara-Juara selepas ini jadi dia terdesak mahu beraksi namun anda perlu menilainya daripada segi prestasi dan tahap kecergasannya tidak 100 peratus.

“Menurunkan seseorang pemain seperti memperjudikan nasib pasukan, menurunkan pemain yang sudah lama tidak beraksi besar risikonya. Saya yakin Pochettino fikir ‘kalaulah’. Kalau dia membuat keputusan berbeza. Lucas Moura patut menjadi alternatif untuk diturunkan,” kata Shearer.

Kane terpaksa berlumba dengan masa untuk kembali cergas selepas final selepas cedera di buku lali dalam aksi pertama suku akhir ketika menentang Manchester City.

Dia juga terpaksa direhatkan dalam baki saingan domestik dan walaupun ketiadaannya, Pochettino masih berupaya menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam empat pasukan terbaik sekali gus layak ke Liga Juara-Juara musim depan. - AGENSI