Dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi, The Bos Gaurus terpaksa bekerja keras untuk bangkit dari ketinggalan satu gol pada babak pertama menerusi sepakan percuma menarik Muhamad Firdaus Abdul Razak dengan dua gol ledakan pemain import tengah, Wander Luiz pada babak kedua.

“Kami mengawal permainan sepanjang 90 minit dan mencipta banyak peluang namun gagal menyudahkan dalam bentuk jaringan. Sejujurnya inilah bola sepak tetapi saya tetap gembira dengan kemenangan ini.

“Pemain saya menunjukkan disiplin yang tinggi, pasukan lawan memberi tentangan sengit dan penjaga gol (Muhamad Rozlan Arbae) merupakan pemain terbaik malam ini kerana beraksi cukup cemerlang untuk menafikan peluang kami melakar kemenangan besar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan berakhir.

Kemenangan itu menyaksikan Perak melangkah ke peringkat suku akhir dan lawannya akan diketahui hari ini dalam majlis undian yang akan berlangsung pada pukul 2.30 petang.

Tambah Durakovic, dia turut memuji kesungguhan dan semangat pemain Jerantut FA yang beraksi dalam saingan Liga M4 namun mengakui pasukan itu masih terlalu jauh untuk bersaing dalam Liga Super.

“Mereka semua masih muda dan bersemangat tapi untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Liga Super bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.

Mehmet berharap momentum kemenangan ini mampu diteruskan dalam saingan Liga Super untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.- UTUSAN ONLINE