Perlumbaan tersebut dimenangi oleh Cristian Raileanu dari TSC dengan mencatatkan masa tiga jam, 43 minit 33 saat dan diekori Zhang Zheng daripada Hengxing Cycling Team yang meraih tempat kedua dan ketiga Dominic Perez daripada pasukan 7Eleven Cliqq-Air21 (7RP).

Pemenang Jersi Biru yang merupakan pendahulu kejohanan dimenangi Mario Vogt juga daripadaTSC yang berada di tempat keempat perlumbaan itu selain Pelumba Muda Terbaik (Jersi Hitam) diraih oleh pelumba TSC, Muhammad Shaiful Adlan Mohd. Shukri.

Ryan Roth daripada XSpeed United hanya mampu mempertahankan Jersi Putih selepas Jersi Biru dimenanginya pada peringkat pertama semalam dirampas Vogt selain Raja Bukit (Jersi Merah) digondol Perez.

Raileanu nyata gembira dan mengucapkan terima kasih kepada pasukannya apabila taktik yang dilaksanakan mereka membawa hasil kemenangan.

“Sepanjang perlumbaan pasukan sentiasa memastikan saya dan pelumba dalam keadaan baik sebelum membuat kayuhan laju pada penghujung perlumbaan.

“Perlumbaan hari ini begitu sukar untuk semua dengan cuaca panas. Justeru, kita memerlukan taktik dan sokongan moral antara semua pelumba dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi pendahulu keseluruhan (Jersi Biru) kejohanan, Vogt, pasukannya akan mempertahankan jersi itu untuk perlumbaan terakhir esok, sekali gus untuk TSC.

“Saya merasakan kami mempunyai pasukan yang kuat dan esok laluan agak pendek dan kami akan memberi sepenuh tenaga selain yakin untuk menang,” ujarnya.

Sementara itu, Roth yang terlepas Jersi Biru dimenanginya pada peringkat pertama semalam, tetap berasa lega kerana dapat mempertahankan Jersi Putih sebagai raja pecut.

“Saya akan cuba berusaha keras esok untuk mempertahankan jersi ini selain memberi saingan kepada pelumba yang mendahuli kejohanan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang Jersi Merah sebagai Raja Bukit, Perez mengakui gembira dapat memenangi jersi itu pada hari ini dan bergantung pada keadaan perlumbaan esok sama ada dapat mempertahankan jersi tersebut.

Pada perlumbaan tersebut, TSC kini berada pada tempat pertama sebagai pendahulu pasukan dengan catatan masa 18 jam, 57 minit 49 saat, iaitu kelebihan dua minit daripada pasukan kedua Team Ukyo dari Jepun dan Hengxiang Cycling Team dari China. - UTUSAN ONLINE