Adlan, 21, membuktikan sasarannya tercapai pada perlumbaan hari ini untuk mendapatkan jersi tersebut selepas terlepas kepada Evan Burtnik daripada XSpeed United yang memenangi jersi itu semalam.

Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu itu, dia akan memberikan kayuhan bertenaga pada perlumbaan peringkat terakhir esok bagi mempertahankan jersi tersebut untuk pasukan dan amnya, Malaysia.

“Saya akan melawan habis-habis esok untuk mempertahankan jersi ini kerana persaingan dalam kalangan pelumba muda begitu sengit.

“Tahun ini merupakan kali pertama saya bersama TSC. Saya pasti mahu memberikan yang terbaik untuk diri dan pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Adlan berkata, untuk perlumbaan terakhir esok, dia akan mendengar nasihat jurulatihnya dengan baik bagi memastikan taktikal pasukan dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya juga akan cuba, kalau boleh menang di peringkat akhir esok dan terus mempertahankan Jersi Hitam sebagai perlumba muda terbaik kejohanan,” ujarnya.

Tambahnya, perlumbaan TdIJ 2019 kali ini memberi pendedahan berharga kepadanya apabila dapat berlumba bersama-sama pelumba profesional dan veteran lain yang berpengalaman luas. - UTUSAN ONLINE