Tenaga Nasional Berhad dalam satu kenyataan memberitahu, edisi kali ini menjadi lebih bermakna dan meriah sempena TNB Janamanjung Sdn Bhd (TNBJ) menyambut ulang tahun ke-20 kewujudan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung.

Kehangatan dan kemeriahan jelajah berbasikal itu semakin terasa menjelang acara dengan berlangsungnya majlis pra-pelancarannya di Dataran Vibrant, Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman dan dihadiri Ketua Pegawai Penjanaan Ir. Roslan Abdul Rahman serta Pengarah Urusan TNBJ, Datuk Shamsul Ahmad.

Berbaki sebelas hari sahaja lagi untuk menggegar bumi Manjung, acara berprestij TNB JMFR itu menerima penyertaan kelompok amatur dan berpengalaman, dari dalam dan luar negara.

Peserta bakal melakukan kayuhan sejauh 121 kilometer dari Teluk Batik dengan merentasi pekan Parit dan Air Tawar, sebelum kembali ke Teluk Batik.

Mereka akan dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis.

Pada majlis berkenaan, Roslan melepaskan sebahagian daripada 16 buah kenderaan TNB yang memaparkan logo rasmi TNB JMFR 2019, yang akan mempromosikan acara kayuhan itu di sekitar Lembah Klang dan Perak.

Bertemakan ’Cycling for Green’, penganjuran TNB JMFR kali ini menyambung komitmen TNBJ dalam memulihara alam sekitar, di mana RM10 daripada yuran pendaftaran disumbangkan kepada penanaman semula anak pokok bakau di pesisir pantai sekitar Manjung.

JMFR mula diperkenalkan pada tahun 2008 dan mula menjadi program tahunan negeri Perak sejak tahun 2015.-UTUSAN ONLINE