Petinju yang berpangkalan di Gimnasium Tinju JMC, Makati, Metro Manila, Filipina ini menamatkan empat pusingan dengan kiraan mata yang meyakinkan sekalipun terluka atas mata kanannya kerana terhantuk kepala apabila lawan dari Indonesia ini meluru untuk menyerangnya.


Aiman, 26, ibarat ‘Bakal Manny Pacquiao Malaysia’ apatah lagi mendapat dua bimbingan jurulatih negara itu, Dennis Tuberon dan Jonathan Pemolosa selain mengakui bermotivasi dengan kejayaan Pac Man merampas gelaran welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) daripada Lucas Matthysse, terdahulu.


“Saya sempat menikmati sehingga pusingan keempat pertarungan mereka. Selaku petinju yang berguru di Filipina, tentu sekali saya bermotivasi melihat aksinya (acara kemuncak),” katanya yang juga bekas penyerang skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.


Mengulas aksinya, “saya di sana dan masuk lalu menguji lawan dengan tumbukan tujah serta melihat apa yang dia ada. Kemudian saya kekal dengan tujah, sauk kanan dan kiri. Selepas (lawan) merasai kuasa saya, dia berundur.


“Tiga pusingan saya sudah mengenali dan mendahuluinya. Sudut saya beritahu saya cuma perlu berwaspada dan jangan ambil risiko setelah terluka mata kerana terhantuk walaupun saya sudah bersedia menghadapi sebarang gaya lawan,” katanya.


Aiman berkata, prestasinya hari ini bakal meningkatkan ranking dan menyediakannya dengan pertarungan yang lebih baik dan lebih besar menjelang misi besarya, membawa Jalur Gemilang ke Las Vegas – medan kemuncak tinju profesional dunia.


“Pertarungan ini merupakan batu loncatan yang lebih besar. Inilah aksi kepulangan saya selepas empat tahun di Filipina.


“Saya sedang membina kumpulan peminat dan tunjukkan Malysia siapa saya. Kini saya perlu bekerja keras, dalam tempoh beberapa bulan lagi, saya akan bawa Jalur Gemilang ke Las Vegas,” katanya.


Sementara itu keputusan seri dirah seorang lagi petinju tuan rumah, Theena Thayalan ketika menentang Siddarth Ravindra Varma dari India dalam pertarungan welterweight terdahulu.