Petinju dari Johor Bahru itu berkata, dia kini mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap misi mengurangkan berat badan kepada 90 kilogram (kg) sebelum berdepan Alexander Bajawa dari Indonesia, yang memegang rekod 43-8-4.

“Berat badan saya kini mencecah 96kg dan saya perlu dapatkan berat badan 90kg sebelum 29 Jun ini. Saya pun dah memulakan proses pengurangan berat badan menerusi penjagaan makanan, saya pun dah tak ambil minuman manis.

“Bagi saya tiga latihan dalam masa satu hari juga membantu saya untuk mengurangkan berat badan selain beberapa lagi ‘pengorbanan’ yang perlu dilakukan.

“Saya akan berlepas ke Pattaya pada 28 Jun, dan mungkin sebelum itu saya mahu berat badan saya dalam 92kg. Saya fikir masih sempat untuk dapatkan berat badan yang diperlukan, tetapi penat sikitlah,” katanya dalam sidang akhbar menjelang pertarungan tersebut.

Farkhan, yang pernah mencatat namanya di dalam Malaysia Book of Record (MBR) sebagai petinju termuda memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 Laos, kini memegang rekod 9-0-0.

Petinju berusia 31 tahun itu kini telah memenangi tiga gelaran berturut-turut sejak 2016 bermula pada WBC Asia cruiserweight di Singapura, diikuti WBC Asia light heavyweight (Johor) dan ABF cruiserweight (Manila).- UTUSAN ONLINE