Oh, yang itu. Bak dialog seniman negara, Tan Sri P. Ramlee dalam filem Madu Tiga: “Siapa yang marah? Aku bukannya marah! Nasihat! Butang baju aku mana Pahhhh?”

Kedengaran hampir samah jugalah dengan jawapan Pengarah Urusan Les Copaque, Burhanuddin Md. Radzi. Pihaknya tiada masalah untuk mana-mana animasi dari luar termasuk Doraemon nak buat pameran di negara ini.

BURHANUDDIN MD. RADZI
BURHANUDDIN MD. RADZI

Tapi, jangan sesekali kaitkan dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM). Kononnya dengan harapan Doraemon balik semula Jepun mempromosi pula Malaysia, itu tidak betul. Sepatutnya bawa produk kita ke Jepun.

“Nak bawa (animasi) dari luar, bawalah. Doraemon, Ultraman, Avengers, tiada masalah. Tapi jangan sangkutkan dengan TMM.

“Kenapa Doraemon promosi TMM? Tiada kena mengena dengan negara kita,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Memang patutlah Burhanuddin ‘angin’ dengan cadangan Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah itu seperti dinyatakan dalam satu majlis di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 11 Mac lalu.

Rashidi berhasrat mahu mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun Doraemon bersempena TMM 2020. Alasannya, animasi dari Jepun itu mempunyai ramai peminat di seluruh negara.

Sebagai pegawai kanan kerajaan, tidak patut cadangan sedemikian dibuat semata-mata mahu mempromosi pelancongan tempatan.

Sudahlah diangkat produk asing, peruntukannya sudah tentu guna duit kerajaan. Kalau nak buat promosi TMM, gunalah barangan kita.

Kalau nak pakai kartun, gunalah kartun Malaysia.

Burhanuddin juga tidak kisah kalau nak dibuka kedai Doraemon di negara ini kerana itu adalah satu perniagaan. Tapi kalau nak guna Doraemon untuk promosi produk tempatan, baginya itu memang mengarut! Tidak hebatkah animasi tempatan? Upin dan Ipin keluaran Les’ Copaque misalnya. Sampai dua bilion views dalam Youtube. Diangkat sebagai Duta Pelancongan Malaysia sejak dua tahun lalu.

 

Namun dengarnya, sampai sekarang tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Pelik juga.

Nak kata tidak popular, banyak negara luar menyiarkannya. Sudah dialih suara hingga lima, enam bahasa asing seperti Sepanyol, Inggeris, Tamil, Telegu, Turki.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal pula berjaya mengutip kutipan pecah panggung iaitu sebanyak RM5.3 juta selepas empat hari ditayangkan.

Kekal unggul di tangga pertama carta Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) walaupun sudah seminggu ditayangkan serta berjaya menewaskan filem antarabangsa seperti Captain Marvel dan Dumbo. Ditayangkan juga di luar negara termasuk Singapura dan Brunei,

Di Vietnam, selepas tiga hari ditayangkan bermula Jumaat minggu lepas, berjaya menduduki tangga keempat carta filem paling popular di sana dengan kutipan USD24,000.

Pada 9 Mei ini bakal ditayangkan pula di seluruh Indonesia manakala di China, Jun ini. Tidak cukup hebat lagikah?

Mujurlah pendirian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung isu berkenaan berjaya ‘menyelamatkan’ keadaan.

Beliau tidak akan meluluskan cadangan pameran Doraemon sebagai sebahagian promosi TMM 2020.

Betullah, banyak lagi produk kita yang menarik boleh digunakan untuk mempromosi TMM. Gunung-ganang, laut, pantai kita, banyak yang cantik-cantik.

Kepelbagaian kita sangat luas kerana rakyat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum dan etnik. Ini menjadikan makanan kita unik, budaya hebat, kraftangan pun sekali gus ada kelainan tersendiri.

Kenapa tidak gunakan semua kepelbagaian itu untuk tarik orang luar datang ke sini?