Anak jati Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini bukan hanya semata-mata pernah dikenali sebagai salah seorang penerbit bersama filem Kabali, tetapi lebih dari itu keupayaannya akses kepada pelakon terkenal India yang juga hero filem itu, Rajinikanth.

Bagi sesiapapun di India yang mengenali Rajinikanth, pelakon tersohor itu tidak pernah sesekali meme­nuhi jemputan mana-mana pihak untuk melakukan acara pembukaan, pelancaran, perasmian kedai, bangunan atau jauh sekali condong kepada mana-mana parti politik.

Tetapi apabila Abdul Malik memintanya untuk merasmikan gedung Wisma Malik miliknya di Jalan Silang di ibu negara pada 2016, Rajinikanth terus menerimanya. Kejutan itu membawa media di seluruh dunia khasnya di India memaparkan banyak gambar pembukaan bangunan itu di muka depan akhbar mereka.

Kisah hidup Abdul Malik yang penuh liku cabaran sebelum mampu mengecap kejayaannya hari ini, membuatkan sesiapa saja yang mendengarnya, boleh bikin terinspirasi.

Semasa zaman kanak-kanak dan remajanya, Abdul Malik bekerja di restoran milik bapanya, dengan mengambil order daripada pe­langgan selepas waktu sekolah.

Restoran Bunga Emas di Wangsa Maju itulah permulaan dia mengenal dunia perniagaan.

Kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, beliau turut berkongsi kisah pahit jerihnya berniaga di kawasan Jalan Silang.

“Mereka yang lebih senior berniaga di situ pernah cuba halau kami dari situ yang kami ada ha­nyalah office seluas 300 kaki persegi besar dengan dua staf bekerja,” kata beliau.

Berkat kegigihannya, Abdul Malik berjaya membeli semula wisma yang beliau sewa dahulu.

Hari ini, apa yang Abdul Malik usahakan membuahkan hasil.

Dengan cuma sebuah kedai yang diusahakannya bermula tahun 2007, kini Abdul Malik memiliki lapan outlet peruncitan dan beberapa bangunan di ibu negara yang menggaji ratusan pekerja.

Selain itu lima premis pengurup wang asing miliknya beroperasi di ibu negara dan Johor. Abdul Malik jugalah pengedar peralatan mainan serta pengusaha perniagaan import eksport bara­ngan am terutama penerbitan dan pengedaran filem.

Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. yang diketuainya adalah syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil terbesar di negara ini dengan kejayaan membawa masuk beberapa filem Hindi dan Tamil bertaraf box office ke negara ini. Antaranya, Kabali, Lingga, Singam 3, Dilwale, Petta serta menjadi pengedar filem antarabangsa (Worldwide Release).

Cuma, semasa penulis menemui Abdul Malik dalam satu majlis berbuka puasa dua minggu lepas, beliau memberitahu, setiap kali mengenang keperitannya di masa lalu sehinggalah mampu mencapai tahap hari ini, beliau akan sentiasa memanjatkan rasa syukur kehadrat-Nya.

“Rasa kesyukuran ini saya panjatkan menerusi amal jariah seperti ini. Seperti mana pesanan bapa saya, bersedekah menambah lagi keberkatan rezeki perniagaan saya.

“Dan saya yakin rahsia kejayaan rezeki berlipat ganda seseorang hari ini adalah dari amal jariah dan bersedekah kepada pihak yang memerlukan,” ujar Abdul Malik, selepas menyampaikan sumbangan bantuan berupa hamper dan wang tunai kepada pesakit-pesakit di Hospital Kuala Lumpur 30 Mei lalu.

Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. acap kali mengadakan pelbagai program dan aktiviti amal melibatkan penyertaan anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal serta pelajar hampir setiap tahun.

Dua tahun lepas pihaknya menghantar 50 jemaah umrah ke Mekah dan dijangka tahun ini atau 2020, ditambah 50 jemaah lagi, menjadikan kesemuanya 100 orang.

Untuk perancangan seterusnya 2019 ini, Abdul Malik merancang membantu sejumlah 4,500 orang dari kalangan anak-anak yatim dan OKU, warga emas, ibu tunggal serta pelajar kurang berkemampuan.

“Golongan kurang berkemampuan amat memerlukan bantuan seperti barangan asas termasuklah baju raya dan duit raya seperti mana baru-baru ini. Sekurang-kurangnya ada pihak yang merasai bersama kesusahan mereka,” kata Abdul Malik.