Biarpun berada pada ranking yang amat baik, namun ia tidak pernah menjadikan penerajunya berhenti di situ atau berpuas hati, sebaliknya pelbagai lagi peningkatan masih perlu dilakukannya. Pelbagai agenda sedang dan akan dilaksanakan oleh UM dalam memastikan mereka terus menjadi yang terbaik, Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan ASHRIQ FAHMY AHMAD serta jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI di pejabatnya di Kuala Lumpur, barubaru ini, Naib Canselornya, DATUK IR. (DR.) ABDUL RAHIM HASHIM berkongsi kejayaan dan impian untuk melihat UM bukan sahaja terus cemerlang malah ada kelebihan tersendiri yang tiada pada universiti lain.

SETIAP lepasan UM perlu ada ‘DNA’ tersendiri. Itu impian saya. Saya mahu setiap kali kalau orang luar lihat sahaja penampilan dan perwatakan siswazah UM, mereka terus akan tahu yang individu itu adalah produk universiti ini. 

Saya mahu orang luar mengenali pelajar UM dengan cara sedemikian. Sebagai contoh, kalau 10 calon datang ke sesi temuduga, lihat sahaja individu terbabit, majikan dapat tahu dia adalah lepasan UM walaupun tidak dimaklumkan dari awal. Bagi saya, pelajar UM perlu ada identiti sendiri.

Memanglah nama UM bukan lagi asing, namun saya juga mahu selain daripada graduan, universiti ini turut lebih dikenali kerana hasil penyelidikan bertaraf dunia. Contohnya, apabila kita menyebut tentang kajian-kajian tertentu, orang tahu ia adalah produk UM. Itu dari segi penyelidikan. 

Hari ini, UM ada tidak kurang 25,000 mahasiswa yang mana saya mahu masyarakat mengenali mereka kerana memiliki identiti tersendiri -  identiti UM. Penentuan ini bukan sahaja berdasarkan kompetensi dalam bidang pengajian mereka tetapi juga kepada nilai, kemahiran, kematangan dan ketangkasan berfikir, kemampuan menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi yang baik serta berpandangan jauh agar dapat bersaing di peringkat global. 

Sebab apa? Sebab hari ini ramai lepasan universiti yang saya lihat tidak begitu mengambil berat tentang peranan dan tanggungjawab mereka selepas bergelar graduan. Saya mahu graduan UM sedar dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai warga sejagat.

Itu yang diharapkan, itulah yang sedang UM lakukan. Ini semua berkaitan dengan ‘reka bentuk’, perlu ada matlamat, perancangan dan usaha. Saya tidak mahu satu-satu inisiatif itu dilakukan setakat saja-saja, mesti ada sebab dan hasilnya.

RAHSIA KEJAYAAN
UM kekal sebagai universiti nombor satu negara apabila berjaya melonjakkan kedudukannya ke tangga 70 menerusi penarafan QS (Quacquarelli Symonds) World University Rankings 2020.

Pencapaian tersebut seharusnya dibanggakan berikutan kedudukan UM telah meningkat dari tangga ke-114 kepada 87 dan kini 70. 

Apa rahsianya? Saya lebih suka berbalik kepada ‘asas’ yang pada akhirnya akan memberikan pencapaian terbaik. Saya sebenarnya amat bertuah kerana memiliki kakitangan yang amat komited, sentiasa berdedikasi dalam menjalankan peranan masing-masing. Antara lain, mereka juga turut memberi penekanan terhadap usaha-usaha kolaborasi sama ada sesama universiti mahupun pihak industri. 

SETIAP lepasan Universiti Malaya perlu ada identiti tersendiri
SETIAP lepasan Universiti Malaya perlu ada identiti tersendiri yang membezakannya dengan siswazah universiti lain. - GAMBAR IHSAN UNIVERSITI MALAYA

Rata-rata mereka amat menyedari, UM bukan sahaja melahirkan lepasan yang memiliki ciri-ciri tertentu saban tahun tetapi kualiti-kualiti tertentu yang relevan, yang boleh diketengahkan kepada industri. Walau bagaimanapun, satu perkara lagi yang patut dipertingkatkan adalah bagaimana mahu menyelesaikan kekangan kewangan, bagaimana mahu mendapatkan dana kerana bantuan daripada kerajaan adalah terhad. 

Oleh yang demikian, dari mana UM mahu memperoleh dana untuk penyelidikan? Jadi, kita terpaksa berkolaborasi dengan pihak-pihak tertentu dari luar negara dan syarikat-syarikat berkaitan. Mungkin pihak industri boleh membantu dari segi pembiayaan terutama untuk tujuan penyelidikan. 

Dari segi ranking mungkin semua tahu, apa yang utama adalah implementasi segala yang dirancang agar membuahkan hasil sebagaimana yang disasarkan. Jika apa yang dilaksanakan tidak mencapai sasaran, kita perlu melihat semula strategi dan pelaksanaan tersebut. Jika tidak, UM mungkin hanya berangan-angan untuk mencapai kedudukan terbaik. 

UM juga tidak mengetepikan pembangunan pelajar. Ia merupakan asas utama sesebuah universiti. Saya juga akan tentukan supaya pembelajaran mereka sentiasa meningkat menerusi teknologi, sistem pembelajaran yang aktif dan pelbagai lagi. Sebagai contoh, UM merupakan satu-satunya universiti yang memberikan hak mengendalikan pilihan raya kampus 100 peratus kepada pelajarnya. 

Oleh yang demikian, pembangunan pelajar akan terus menjadi agenda utama universiti kerana itulah tanggungjawab sebenar universiti iaitu untuk melahirkan insan yang lengkap dan dinamik, yang diperlukan oleh Malaysia sebagai negara yang sedang pesat membangun.

BUDAYA KECEMERLANGAN
UM sememangnya sudah berada di kedudukan yang baik, namun bagi saya, itu tidak memadai. UM berpotensi untuk menyerlah dengan lebih besar lagi. Buat masa ini, UM perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran tertentu. Sekiranya cabaran-cabaran berkenaan dapat diatasi, pastinya UM mampu melonjak ke takuk yang lebih tinggi. 

Jika melihat kepada ekosistem universiti ini, budaya kecemerlangan itu sudah pun lama diterapkan. Performance culture itu sememangnya sudah lama ada. Ia telah tersemat di sini sejak dahulu, jadi UM hanya memerlukan motivasi. Mungkin insentif-insentif tertentu agar mereka (warga UM) dapat menyerlah dengan lebih baik dan pergi lebih jauh lagi.

Dari segi prasarana pun sama, perlu dipertingkatkan lagi. Bagi memastikan UM sentiasa bergerak selari dengan peredaran semasa, segala peralatan dan perkakasan perlu sentiasa dikemaskini. UM perlukan pelaburan untuk masa hadapan yang lebih baik.

Jika dilihat, dalam usaha menentukan graduan-graduan UM menepati keperluan yang pantas berubah dan mencabar pada masa hadapan, apakah program-program yang perlu saya wujudkan di sini supaya mampu menjadikan mereka bersedia menghadapi isu-isu serta cabaran-cabaran yang mungkin belum diketahui? 

Itu cabaran akan datang, sangat pelbagai dengan bermacam kemungkinan. Jadi saya perlu menyediakan universiti ini dari pelbagai aspek agar dapat mendepani cabaran-cabaran pada 10 hingga 20 tahun akan datang. 

Setiap kali mencapai kejayaan, penanda aras juga akan berubah dan pasti akan meningkat. Jadi, adakah UM sudah bersedia atau pun tidak, untuk turut sama berubah dan dengan pantas? 
Ada yang mengatakan (kemajuan) universiti ini agak ‘perlahan’. Kenapa tidak UM bergerak dengan lebih pantas mengikut peredaran zaman? Mungkin itu hanya persepsi, namun waima sekadar persepsi, itu perlu ditukar, jadi itulah cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang.

Dana jadi kekangan?
KEJAYAAN sesebuah universiti menaikkan ranking adalah juga bergantung kepada komitmen kakitangan akademik dan bukan akademik. 

Bagi Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim, beliau tidak mahu pencapaian universiti itu dipikul oleh hanya segelintir kakitangan. 

Jika kesemua kakitangan UM mampu bekerjasama dalam memikul tanggungjawab, juga misi dan visi yang digagaskan, UM pastinya akan lebih menyerlah dan salah satu faktornya pastinya berkaitan dana. Buat masa sekarang, sebagai sebuah universiti penyelidikan, UM menerima kira-kira 80 peratus sahaja dana daripada kerajaan, selebihnya menggunakan dana dalaman. 

Masalahnya kini, banyak peralatan dan prasarana di UM berusia lebih 60 tahun, malah ada yang telah usang. Untuk mengemas kini segala peralatan dan prasarana berkenaan memerlukan dana yang besar. Di situlah kekangan yang sedang UM hadapi. 

Jika perolehan dana adalah konsisten, beliau percaya UM akan pergi lebih jauh, berada di kedudukan lebih tinggi, itu antara aspek yang agak merunsingkan beliau juga.

 

Universiti Malaya kekal sebagai universiti nombor satu negara
UNIVERSITI Malaya kekal sebagai universiti nombor satu negara apabila berjaya melonjak kedudukannya ke tangga 70 menerusi penarafan QS World University Rankings 2020. – GAMBAR IHSAN UNIVERSITI MALAYA

Ranking 50 teratas menjelang 2025
TRANSFORMASI Universiti Malaya (UM) 2006-2020 yang menyasarkan ranking universiti ini naik ke tangga 100 ke atas sebelum 2020 sudah pun dicapai lebih awal. UM kini mahu menerobos tangga ke-50 universiti terbaik dunia menjelang 2025. Jika dilihat momentum pada masa kini, insya-Allah. Naib Canselornya, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim yakin mampu mencapainya dalam masa dua, tiga tahun lagi.

Bahkan bukan sahaja ranking, beliau juga yakin boleh mencapai apa yang dikehendaki oleh sesebuah universiti penyelidikan berimpak tinggi, memenuhi nilai sahsiah tertentu dalam diri pelajar serta jaringan antarabangsa yang penting kepada UM kerana sekarang telah memiliki pusat penyelidikan yang mana tanda arasnya adalah seiring dengan pusat-pusat penyelidikan di luar negara.

Tahap pusat-pusat penyelidikan milik UM kini setanding dengan universiti-universiti luar negara, bertaraf dunia. UM juga ada jaringan bersama pusat-pusat penyelidikan luar negara dan pastinya aktiviti-aktiviti kajian yang dilakukan memerlukan dana yang bukan sahaja tinggi malah konsisten untuk memudahkan kakitangan dan pelajar untuk mengadakan kursus, seminar dan pelbagai lagi aktiviti yang penting dan perlu. Jaringan tersebut bukan sahaja memerlukan perbelanjaan yang tinggi malah perlu konsisten.

(DARI kiri) Abdul Rahim Hashim berswafoto dengan wartawan dan
(DARI kiri) Abdul Rahim Hashim berswafoto dengan wartawan dan 

Suka selfie
PENAMPILANNYA nampak tegas dan senyumannya agak ‘mahal’. Bagi yang tidak mengenalinya, pasti gerun nak dekat.

Namun selepas memulakan bicara, barulah kita tahu yang Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim sebenarnya peramah. 

Tutur katanya ketika ditemuramah kedengaran cukup jelas, disusun kemas dan memudahkan untuk kami fahami. Sesekali diselangi dengan gurauan menjadikan suasana temuramah di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini nampak lebih santai.

Malah di akhir pertemuan itu, beliau sendiri yang mengambil gambar untuk berswafoto (selfie) dengan kami.