Biar pun, ramai yang menganggap filem tersebut hanya sebuah kisah fantasi dan legenda, dalam dunia realiti sebenarnya wujud watak lanun terkenal yang sering mengganas di Caribbean ketika abad ke-18, tetapi dia bukan lelaki sebaliknya wanita.

Nama Anne Bonny dan Mary Read mungkin tidak begitu dikenali tetapi kehebatan kedua-dua wanita ini dalam dunia lanun menyebabkan mereka digelar sebagai Puteri Lanun Caribbean (Pirate Queen of the Caribbean).

Menariknya, kisah pasangan ini dicatat dalam buku bertajuk A General History of Pyrates karangan Charles Johnson.beliau menyebut ketika lawannya hampir menemui ajal selepas kalah dalam pertarungan Bonny dan Read akan menyelak bajunya sambil menunjukkan payudara sebagai tanda sindiran musuhnya dibunuh oleh seorang perempuan.

ANAK HUBUNGAN SULIT

Anne Bonny dilahirkan di Corck, Ireland pada 1690 dengan nama sebenar Anne McCormac. Dia adalah anak hasil hubungan sulit seorang hamba perempuan bernama Mary Brennan dan majikannya yang juga seorang peguam, William McCormac.

Selepas terbongkar rahsia ini daripada pengetahuan keluarga isterinya, McCormac melarikan diri bersama Bonny dan ibunya ke London. Namun, tempat persembunyian mereka sekeluarga berjaya dihidu dan menyebabkan McCormac melarikan diri ke Carolina. Bagaimanapun, usia ibu Bonny tidak panjang dan dia meninggal dunia ketika Bonny berusia 12 tahun.

Sejak kecil Bonny sering dipakaikan pakaian lelaki malah, ayahnya juga memanggilnya dengan nama Andy. Semakin meningkat usia, sikap panas baran dan perangai buruknya terserlah. Ketika berusia 13 tahun Bonny menikam sehingga mati pembantu rumahnya.

Sekitar 1714 dan 1718, Bonny melarikan diri dan berkahwin dengan seorang pelayar yang juga lanun bernama James Bonny, pasangan ini kemudiannya berpindah ke Nassau, Pulau New Providence, Bahamas. Dalam kalangan lanun Inggeris, pulau ini lebih dikenali sebagai Republik Lanun kerana kebanyakan penghuninya adalah mereka yang mendapat keampunan daripada raja atau melarikan diri daripada ditangkap.

Bagaimanapun, perkahwinan Bonny bersama pasangannya tidak berpanjangan. Dia kemudiannya mula berkawan dengan lanun di kawasan tersebut dan seterusnya bertemu dengan kapten lanun kapal Revenge bernama John Rackhman atau lebih dikenali sebagai Calico Jack. Bonny bercinta dengan Rackhman dan kemudiannya mendapat seorang anak lelaki.

BERTEMU MARY READ

Ketika belayar bersama Rackhman di atas kapal Revenge, hanya Rackhman dan seorang lagi lanun wanita bernama Mary Read yang mengetahui jantina sebenarnya. Malah, lanun yang berada di atas kapal ini juga tidak mengetahui jantina sebenar Read yang cuba menyembunyikan identitinya dengan berpakaian seperti seorang lelaki.

Read yang berketurunan Inggeris dilahirkan pada 1685. Ketika dewasa dia pernah menganggotai askar British untuk menentang Perancis, tanpa ada yang menyedari dia sebenarnya seorang perempuan. Dia kemudiannya jatuh cinta dengan seorang askar berketurunan Flemish dan merancang untuk membina sebuah keluarga.

Malangnya, kekasih Read meninggal dunia dan menyebabkan dia membawa diri dengan menaiki sebuah kapal ke West Indies. Ketika dalam pelayaran itulah, kapal dinaiki Read ditawan oleh lanun Inggeris dan dia kemudiannya dilatih menjadi seorang lanun. Read kemudian diperkenalkan kepada Rackhman dan Bonny di New Providence sebelum mereka bergandingan sebagai lanun paling digeruni ketika itu.

DITANGKAP

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib menimpa Rackhman, Bonny dan Read, aktiviti pelanunan mereka akhirnya berjaya ditewaskan. Pada Oktober 1720, kapal Revenge diserang oleh Kapten Jonathan Barnet yang berkhidmat dengan Gabenor Jamaica, Nicholas Lawes.

Selepas dibicarakan, Rackhman didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada November tahun yang sama di Port Royal, Jamaica. Bagaimanapun, nasib menyebelahi Bonny dan Read yang terselamat daripada menjalani hukuman mati kerana sedang mengandung. Mengikut undang-undang Inggeris waktu itu mana-mana perempuan yang sedang mengandung boleh ditangguhkan hukuman mati sehingga melahirkan anak.

Nasib sebenar Bonny selepas melahirkan anak tidak dapat diketahui, tiada sebarang rekod menunjukkan dia mati atau dipenjara.

Berbeza dengan Read, dia dijatuhkan hukuman penjara tetapi tidak dihukum bunuh kerana sedang mengandung. Bagaimanapun, Read akhirnya menemui ajal ketika dalam penjara beberapa bulan selepas itu.