Vape memang budaya baru di negara kita. Walaupun dalam sejarah dunia, ia sudah lama tetapi di negara kita agak baharu dan masih mentah. Ia dikatakan bermula pada 2009 dan pasarannya ketika itu belum meluas.

Bagaimanapun, lama-kelamaan vape semakin popular dan seolah-olah menjadi trend baharu masyarakat, apatah lagi anak-anak muda. Produknya semakin mudah didapati dan ia bebas digunakan di mana-mana malah melibatkan anak-anak yang masih di bangku sekolah.

Peniaganya pula tidak pilih siapa pelanggannya sama ada budak sekolah atau tidak kerana mereka lebih memikirkan keuntungan. Kalau rasa mahal, ada pakej murah yang boleh dibeli oleh anak-anak muda termasuk budak sekolah.

Apabila vape menjadi ‘kegilaan’ pelajar sekolah, ia memang menjadi ancaman baharu dunia pendidikan negara. Perkara ini tidak boleh dibiar dan pelbagai pihak berwajib mesti ikut duduk berbincang untuk menangani barah dalam dunia pelajar sekolah. Janganlah sampai mereka lebih ‘mendahului’ pihak berwajib, baru hendak bertindak.

Penulis menggunakan istilah ‘mendahului’ kerana sudah wujud apa yang dinamakan kelicikan sehingga kita sukar mengesan vape yang dibawa ke sekolah. Waktu rehat, ada yang keluar dari sekolah lalu menghisap vape.

Apa yang penulis dengar, ada yang mengubah suai dalam bentuk pen, jam dan sebagainya sehingga pihak sekolah pun tidak tahu apa sebenarnya yang ada dalam kocek atau bekas pensel pelajar. Betul atau tidak penulis tidak pasti.

Di sekolah, kita sudah nampak pelbagai fenomena berlaku apatah lagi selepas tindakan guru ke atas pelajar tidak boleh dibuat seperti apa yang guru boleh buat suatu masa dahulu.

Zaman budak-budak tidak boleh dijentik telinga kerana ibu bapa akan datang ke sekolah, banyaklah perkara yang budak-budak rasa boleh buat di sekolah, mereka akan buat walaupun mereka sendiri faham apa yang dibuat itu tidak boleh dibuat di sekolah.

Oleh hal demikian, di pihak paling utama iaitu kerajaan mesti berusaha mengekang kemasukan vape dari luar negara secara berleluasa agar vape tidak menjadi satu budaya yang boleh menjejaskan orang ramai. Ia akan melekakan anak-anak muda, merosakkan minda dan paling penting pelbagai salah laku sosial lain akan terseret sama apabila dikaitkan dengan vape.

Sebelum vape menular masuk dan sebelum menjadi ‘barah’ di sekolah, pentadbiran sekolah melalui badan pengawas mesti kerap mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas pelajar. Bukan hanya pengawas, tetapi sekolah mesti memikirkan lantikan pengawas rahsia untuk menyalur maklumat salah laku pelajar kepada pihak sekolah demi membersihkan nama baik sekolah dan menjaga institusi pendidikan.

Ibu bapa tidak semestinya sentiasa bersangka baik atau percaya seratus peratus kepada anak-anak walaupun di rumah anak-anak pijak semut pun tak mati, kerana di luar rumah barangkali gajah pun tak sanggup dekat.

Jika pelbagai pihak berusaha menangani pelbagai masalah yang berlaku dalam kalangan anak-anak, mereka diharap akan menjadi ikan di laut, isinya manis walaupun dikelilingi air masin.