Ini dilakukan menerusi permeteraian perjanjian surat hasrat (LOI) antara Unimap dan Electronic and Utrasonic Engineering, General Engineering Research Institute (EUE-GERI), LJMI di Liverpool, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, Unimap diwakili oleh Ketua Penyelidiknya, Dr. Mohd. Arif Anuar Mohd. Salleh yang mewakili Naib Canselor; Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad manakala EUE-GERI diwakili oleh Ketua Penyelidiknya, Prof. David Harvey.

Cegeogtech Unimap menerima geran penyelidikan tambahan bernilai RM125,000 bagi menjalankan penyelidikan bersama.

Pengurus Cegeogtech, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, kerjasama tersebut merupakan kesinambungan hubungan yang telah terjalin sebelum ini yang dibiayai oleh oleh British Council dengan Kumpulan Kerjasama Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Ujar beliau, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penyelidikan serta menguji teknologi pateri terkini termasuk mewujudkan sebuah makmal bersama yang akan memberi fokus kepada bidang penyelidikan yang telah dikenal pasti.

“Buat permulaan, LJMU-Unimap Electronic Materials and Ultrasonic Research Lab akan ditempatkan di salah satu makmal di Cegeogtech Unimap bagi memudahkan proses penyelidikan.

“Ia sekali gus bakal menjadi makmal kedua diwujudkan di situ bagi bidang ini selepas Makmal Penyelidikan Bahan Elektronik Nihon,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, kerjasama antara Unimap-LJMU bermula pada 2016 dalam bidang geopolimer dan konkrit melalui geran penyelidikan Horizon 2020 dan geran mobiliti di bawah Research Council United Kingdom (RCUK).

Mengulas lanjut, Mohd. Mustafa berkata, kerjasama tersebut secara tidak langsung membuktikan kumpulan penyelidik Materials & Ultrasonic Unimap yang terdiri dari 15 orang penyelidik itu mampu menjadi pakar rujuk bagi industri elektrik, elektronik serta industri pembuatan bahan pateri di dalam dan luar negara.

Ujar beliau, sebelum ini kumpulan penyelidik terbabit telah menjalinkan kerjasama dengan Nihon Superior (M) Sdn. Bhd., Qualitek Solution Sdn. Bhd. dan Inari Technology Sdn. Bhd., manakala kerjasama antarabangsa melibatkan syarikat Clarion Thailand dan Nihon Superior Co. Ltd., Jepun.

Selain dari itu, jelasnya, kumpulan penyelidik tersebut juga menjadi rujukan serta menjalinkan kerjasama rapat dengan universiti dan institusi terkemuka luar negara.

Katanya, antaranya adalah Imperial College London, University of Queensland, Kyoto University, Metals and Materials Technology Center (MTEC) Thailand serta The Minerals Metals and Materials Society (TMS) USA.

“Ia termasuklah penyeliaan 20 pelajar doktor falsafah (PhD) dan Sarjana yang ditaja oleh beberapa geran industri dalam serta luar negara khususnya dalam pembangunan bahan pateri bagi kegunaan penyambungan elektrik dan elektronik.

“Selain itu, Mohd. Arif sendiri turut menjadi peneraju bagi kumpulan penyelidik Tin Solder Technology Malaysia di bawah Lembaga Timah (Peyelidikan dan Pembangunan) Malaysia.

“Dengan hubungan rapat bersama pihak industri dalam dan luar negara ini, Unimap berbangga apabila telah terpilih sebagai penganjur bersama bagi persidangan terbesar dalam bidang kejuruteraan bahan di Amerika Syarikat untuk dua tahun berturut-turut iaitu TMS 2019 dan TMS 2020,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE