Pertandingan itu yang terbuka kepada murid sekolah rendah dan menengah seluruh negara dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Megah, Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama sekali gus masing-masing membawa pulang hadiah utama berupa piala pusingan dan baucar akaun simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM4,000.

Pengetua SMK Subang Utama, Yasmin Kamarudin berkata, kemenangan itu adalah penglibatan semua pihak yang bertungkus-lumus dari segi penyediaan persembahan dan latihan.

“Usaha luar biasa anak-anak ini yang gigih berlatih telah membuahkan hasil, komitmen serta rasa tanggungjawab mereka tunjukkan amat membanggakan dan melalui kejayaan ini saya yakin sekolah kami mampu menjadi yang terbaik antara sekolah aliran perdana,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan tersebut di sini hari ini.

Bagi Penolong Kanan Pentadbiran SK Taman Megah Leong Whye Sam berkata, murid-muridnya mendapat banyak manfaat dari segi pemantapan kendiri dari program yang dianjurkan oleh Bank Rakyat itu.

“Melalui program ini murid-murid kami dapat meningkatkan keyakinan mereka serta mutu bahasa dapat diperhalusi kerana kami amat menekankan kepada sebutan yang betul selari dengan kehendak pertandingan”, ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, program ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Usahawan bertujuan merealisasikan aspirasi negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

“Pertandingan ini kali kedua dianjurkan sejak tahun 2018 dan ini adalah satu inisiatif di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Tajuk yang diberikan juga bertujuan membangkitkan kesedaran kepentingan amalan menabung selain menyemai minat pelajar dalam bidang keusahawanan,” katanya. - UTUSAN ONLINE