“Rakan pejabat yang bagi tadi bu, katanya tapai pulut ,” agak sayup kedengaran suara Sara di luar. Ibunya terus meneliti bungkusan itu sambil mulutnya mengomel entah apa. Dia mencicip sedikit lembut tekstur tapai yang putih bersih itu.

 

Murah pula rezeki Sara tahun ini. Sejak balik bertugas di kampung halamannya, dia sering mendapat habuan yang tidak diduga. Syarikatnya menyediakan kenderaan pejabat khas untuknya, walaupun sekadar Viva. Tidak pernah dia rasa begitu dihargai oleh majikan sebelum ini walaupun jawatan eksekutif memang layak mendapat fasiliti seperti itu.

Sudah tentu itu memudahkan pergerakannya sebagai pegawai muda yang sedang membina tapak kehidupan itu. Maklumlah, keluarganya pun bukan dari kalangan orang berada. Ibunya mengambil upah membersih rumah orang selepas ditinggalkan ayah entah ke mana. Tiga orang adik yang masih bersekolah pula terpaksa dibiayainya.

Rakan-rakan baharu Sara pula sangat mesra dan memberi sokongan kepadanya. Maya, setiausaha syarikat merupakan rakan sekolahnya ketika kecil dahulu. Jadi mudahlah mereka membugar hubungan semula.

Mayalah yang memberi bungkusan kuih itu kepadanya. Menurut Maya, jiran berdekatan rumah yang membuatnya. Mula-mula secara kecil-kecilan, tapi sekarang makin membesar. Dengan sedikit inovasi kuih tradisional itu kini telah menjadi viral di Instagram dan laman sosial lain.

“Eh, tapai apa macam ini, tak macam tapai biasa. Tapi rasanya sedap pula,” ibu bermonolog. Dia tahu kalau cakap kuat pun Sara tak layan. Dia kalau dah ada kerja, tak hirau orang keliling. Perangai anak sulung yang tinggi fokusnya ketika melakukan apa jua pekerjaan memang ibunya tahu sejak dahulu.

Sebentar, kedengaran riuh di depan rumah menandakan Jali dan Siti balik dari sekolah. Kedua-dua mereka akan menghadapi SPM dan PT3 tahun ini, sebab itulah hampir setiap hari ada kelas tambahan. Seorang lagi adik Sara, Jai sedang menuntut di IPT.

Mereka tahu apabila kakak sulungnya balik dari pejabat, mesti ada sahaja buah tangan yang dibawa. Itu antara rutin Sara sebagai tanda kasih dan tanggungjawab sosial terhadap adik-adiknya. Terus sahaja mereka mendapatkan ibunya dan tangan itu dicium mesra.

“Apa yang ibu makan tu?” sapa Jali. Ibunya hanya senyum-senyum sambil menunjukkan lebihan kuih yang ada di tangannya. Kedua anaknya itu mendekati meja makan. Beberapa bekas comel yang telah habis isinya ditenung Siti.

Seputar ingatan bersama suami ketika mula-mula ibu hidangkan juadah tradisi itu selepas sepurnama perkahwinan mereka mampir ke ampaian kenangan. Ibu tahu sejak hari itu, tapai pulut jadi hidangan wajib suami saban kali menjelang hari raya.

“Jangan lupa buatkan tapai kegemaran abang tu ya,” pesan si suami sebelum berangkat ke lokasi kerjaya. Si isteri sambut dengan senyuman manis. Mekar hatinya apabila air tangan menjadi kegemaran suami. Awal-awal lagi dia sudah simpan daun getah untuk membungkus tapai pulut nanti.

“Kuih apa ni , bu?” soal Siti mengulangi diksi Jali. Rasa ingin tahu berkembang di minda kedua beradik itu. Ibu tersentak tapi kembali khusyuk mengunyah bahan makanan tersebut. Hairan, orang tua tu tak jawab pun soalan mereka. Malah mulutnya terus sahaja membuka bungkusan demi bungkusan kecil yang berwarna-warni.

Inovasi

Kisah ibu dan adik-adiknya melantam semua tapai pulut yang dibawa balik ke rumah, pantas menjadi tular pula di pejabat. Sara, mulanya malu juga hendak cerita kepada Maya, tetapi kerana pesanan ibunya untuk membeli kuih itu semula, membuatkannya buka rahsia.

“Biar betul, Sara? Ha ha!” tergelak besar Maya apabila dikhabarkan kisah ibu Sara yang tidak tinggal barang secubit pun untuknya merasa. Siti dan Jali pula hanya sempat rasa sebungkus seorang.

“Tulah dia suruh aku beli pula hari ini!” balas Sara menghabiskan sisa gelak. Lelucon itu turut dikongsi staf lain yang ada di pejabat ketika itu. Tamat sahaja masa kerja, Sara mengekori Maya ke kilang IKS Kuih Tradisi Sarimah di Pemukiman Masjid Tanah.

Teruja Sara melihat kerancakan tuan punya kilang kecil itu menjalankan kerja dengan bantuan beberapa orang pekerja. Tidak terfikir pula kuih tapai pulut yang biasanya buat secara sara diri, kini dapat dikomersialkan.

“Dulu tapai pulut ini menggunakan daun getah dan tidak tahan lama. Dengan sedikit inovasi teknologi terkini saya gunakan plastik khas. Kemudian bungkusan itu dipakej pula ke dalam bekas kecil aneka warna,” ujar Puan Sarimah meramahi pelanggan. Sara angguk-angguk kagum sambil membelek-belek beg-beg comel ala-ala ‘door gift’ majlis-majlis rasmi itu.

Kuih yang diperbuat daripada beras pulut, ragi dan gula itu kini kelihatan lebih moden dan tahan lama. Konsep sejuk beku yang diaplikasikan dalam perusahaan tersebut memberi pendekatan baharu

Barangkali kita tidak hairan dengan ‘karipap frozen’ atau kuih-muih lain yang menggunakan konsep sama. Tapi kalau tapai pulut frozen memang belum ada lagi. Sebenarnya ada sedikit perbezaan dengan konsep frozen biasa kerana tapai ini tidak boleh diletakkan dalam suhu yang terlalu rendah.

“Biar ibu dan adik-adik puas hati makan hari ini,” Sara membuat refleksi sambil memohon diri. Rona wajahnya juga mengukir semacam rasa bangga dapat menyumbang sesuatu yang ibunya gemari. Hihi, lebihan gelak masih juga tersangkut di rahang tekaknya mengenangkan gelagat ibu dan adik-adiknya.

Sengaja dia beli lebih untuk stok mereka sekeluarga. Tapai ini lebih enak jika disimpan agak lama di dalam peti ais.

Jadi Lentera

Seminggu lagi umat Islam bakal menyambut hari Raya Aidil Adha. Beberapa ekor lembu korban telah ditambat di beberapa lokasi. Bagi mereka sekeluarga, hanya menanti hadiah daging daripada orang kampung mengambil bahagian korban.

Sara jadi hairan dengan sikap ibu yang tiba-tiba pula berubah. Hari itu bukan main seronok kalau Sara balik membawa balik tapai pulut. Namun, hari ini dia tidak jamah langsung tapai yang Sara beli. Jali dan Siti sahaja yang beriya pula makan.

Malah ibu seakan berhiba pula tatkala menghadap hidangan malam. Cubit sedikit lauk dan makan sesuap dua sahaja, kemudian ibu akan berlalu untuk solat. Meninggalkan Sara tiga beradik melunasi menu.

“Bu, kenapa sikit sangat makan, nanti ibu sakit,” lunak suara Sara menyapa ibu seusai solat maghrib. Seperti biasa ibu akan mengalih topik bicara dengan buat-buat sibuk membasuh pinggan dan sebagainya. Sejumlah soal menghuni ruang tanya Sara.

“Cepat sikit siap nanti lewat solat,” alasannya apabila Sara majukan soalan.

Mahu tidak mahu, Sara mengalah juga dan meminta adik-adiknya segera beransur. Dahulu, mereka sering juga berjemaah bersama- sama ayah, namun itu semua tinggal kenangan kini.

Sudah hampir lima tahun ayah pergi tanpa pesan. Ketika itu Sara masih di universiti. Dia tidak tahu hujung pangkal kisah yang menyebabkan semuanya terjadi. Alih-alih, Sara dimaklumkan akan tragedi tersebut oleh Jali, adiknya.

Walaupun ibu tetap memberi alasan menafikan, namun ujaran Jali yang menyatakan ayah sudah sebulan tidak kembali ke rumah, menguatkan kenyataan itu. Igau hitam tetap menjadi tanda tanya Sara.

Sejak hari itu ibulah jadi galang ganti tugas dan peranan ayah. Semuanya ibu yang bereskan. Ibu yang menghantar Sara temuduga dengan mobil buruk peninggalan ayah ke Bandar Melaka. Dialah juga yang memacu kereta itu ke sana pada hari pendaftaran kerja pertamanya.

Sara masih ingat, ibu terpaksa pinjam duit daripada Pak Long Hassan untuk biaya ke sana. Maklumlah ibu tidak punya wang simpanan untuk masa depan mereka. Ibu yang selama ini menjadi suri rumah terpaksa pula melakukan semua kerja yang dia mampu.

Menjadi pembantu kedai makan Kak Chik di pekan, mengambil upah jaga anak Cik Roha dan mengemas rumah orang kaya pada hujung minggu, semua pernah dia lakukan. Sebab itulah Sara bersyukur benar dapat balik ke kampung halaman selepas tiga tahun bekerja di rantau orang.

Selama tempuh ayah tiada itulah ibu memain peranan besar dalam keluarga mereka. Ibu jadi lentera kegelapan bahtera yang ditinggalkan nakhoda. Dialah pemberi sinar kehidupan kepada Sara, Jai, Jali dan Siti meneruskan hidup dengan penuh kepayahan.

Masuk tahun ini, kali keempat mereka bakal berhari raya tanpa ayah. Andai ditakdirkan dia telah pergi untuk selamanya, tentu ada khabar berita daripada pihak berkuasa. Biarpun laporan orang hilang telah dilakukan ibu dan rayuan melalui media sosial juga diuar-uarkan oleh Sara empat beradik, namun masih belum berhasil.

Kelam sinar yang menghurung kelambu keluarga mulai sirna apabila Sara mendapat kerja. Sara tega berendam air mata tidak mengendahkan hasrat kekasih untuk menikahinya lebih awal. Dia bertabah untuk membantu keluarganya terlebih aula.

Kehilangan ayah kini sudah menjadi biasa bagi mereka. Ada atau tiadanya ayah, sudah tidak lagi menjadi kudis. Hari Raya Aidilfitri, Raya Haji, atau hari-hari biasa, mereka harungi tanpa rasa kesal atau dendam.

Namun dua tiga hari ini ibu kelihatan begitu terusik jiwanya. Selera makan dan minumnya semakin hilang. Ibu lebih suka duduk termenung dan memandang polos panorama ruang laman. Tapai pulut berinovasi yang awalnya menjadi penyeri, namun hanya bertindak seketika.

Malah hari ini tapai yang Sara beli kelihatan agak pudar warnanya. Tidak seperti selalu – putih dan bersih. Ada seakan bintik kemerahan pada adunan kali ini. Biarpun rasanya tidak berubah, namun keruh warna itu seakan memberi impak tona rusuh pada wajah ibu.

“Buat tapai ini ada juga pantang larangnya, Sara.” Teringat ia akan kata-kata Puan Sarimah, pengusaha tapai pulut ketika mengunjunginya tempoh hari. Menurutnya, ‘mood’ pembuat tapai itu akan mempengaruhi aura orang yang memakannya. Aish, macam tidak logik pula! Sara membiarkan sahaja persoalan itu di dalam laci simpanan soalnya.

Dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara mistik yang kadang kala tidak masuk akal itu. Ingatannya kini berfokus kepada ibunya. Insan yang telah menerangi hidupnya adik-beradik dan mahu ia kekal cekal mendepani sebarang duga dan cuba.

Lembayung indah

Tidak seperti bulan Syawal, sambutan Hari Raya Korban disambut ala kadar sahaja. Tiada lauk-pauk beraneka jenis. Tiada juga air pelbagai rasa seperti dijual di bazar-bazar Ramadan. Dan tiada lagi kelihatan bungkusan comel tapai pulut seperti hari-hari sebelumnya. Siti dan Jali juga sudah tidak bertanya lagi fasal tapai itu sejak ibu hilang selera untuk menjamahnya.

Mereka akur sahaja nasihat Sara untuk tidak lagi menyebut makanan itu. Mereka tidak mahu emosi ibu terganggu lagi apabila melihat tapai pulut itu meski mereka sendiri tidak pasti apakah punca asalnya ibu jadi begitu.

Sejurus sebelum azan berkumandang, terdengar ketukan pintu di luar. Semua mata berpaling ke arah graha lama ukiran ikonografi corak flora di rumah pusaka itu. Bingkas ibu menghala ke arah pintu.

Seorang lelaki separuh abad terjengul ketika ibu membuka gawang. Dua pasang mata bertentang menyepikan momen. Sara dan adik-adiknya turut menjengah ke luar apabila sepi menghuni vakum sekian lama. Semua terkesima. Momen pegun lagi buat seketika.

“Maafkan abang Irah. Maafkan ayah, Sara, Jali dan Siti,” suara garau yang terus diiringi tangisan sayu menghuni ruang. Kejutan yang tidak pernah mereka jangkakan di ungu lembayung maghrib.

Adegan tangisan dan berpelukan berlangsung dalam durasi agak lama. Tikar rindu dan kesunyian disingkirkan, terbentang menjadi hamparan kesyukuran. Meninggalkan seketika kemeriahan rezeki di meja makan.

Tangan ayah membimbit bungkusan berlabel yang mereka semua kenal amat. Apa lagi Sara yang hampir tiap minggu membelinya hinggalah si ibu berubah laku. Jali dan Siti paling melonjak seleranya kerana sudah agak lama juga tidak merasa cicipan itu.

“Irah, ini abang kembalikan memori lalu. Kini ia bukan lagi pengganggu, sebaliknya pengubat rindu.” Ayah memasrahkan frasa yang 
tiada siapa memahami, kecuali ibu. Kelihatan genangan air suam di tubir mata ibu kian deras menuruni bilahan alur wajah.

Imbauan kenangan lalu bertamu. Memori sewaktu sang suami meninggalkan teratak pusaka di kala senja. Hanya kerana tapai pulut yang ibu buat berwarna perang kemerahan dan kurang ‘menjadi’. Hanya kerana itu perang mulut tercetus lantas membuahkan kelahi yang memisahkan mereka.

Memang pulut tapai itu makanan kegemaran ayah. Dia tahu sangat jika rasa atau keenakannya tercemar kerana kurang teliti ketika proses peraman. Ironinya, ketika ibu membuatkan tapai yang kemerahan itu di kala ia sedang datang bulan.

Ibu berkorban apa sahaja untuk menyara hidup kami. Biarpun banyak cerita yang didengarinya, namun ibu tidak mahu memanjangkan episod. Biarlah anak-anak sekadar tahu ayahnya hilang dengan laporan polis yang dibuat.

“Abang…” suara getar masih berbaur resah di hujungnya. Ibu seakan belum mampu menerima kenyataan itu. Ayah dakap ibu penuh sayu disaksikan tiga orang anak yang masih tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Suara takbir dan talbiah di televisyen mengalu-alukan dhuyufur rahman memenuhi undangan Tuhan gemersik menyisip ke rongga telinga.