Dalam konteks seni dan amalan sinema, adaptasi yang sering menjadi fokus karyawan filem serta penelitian ilmiah termasuklah adaptasi karya-karya sastera (termasuk drama) ke sinema, yang sebenarnya sudah mengambil tempat ketika era filem bisu lagi. Malah, adaptasi sastera ke filem sudah menjadi satu tradisi kebanyakan sinema nasional di dunia sepanjang kurun ke-20 dan 21. Novel-novel seperti Dracula nukilan Bram Stoker dan siri Sherlock Holmes umpamanya, telah diadaptasi dan diubah suai dalam pelbagai konteks nasional.

Dalam pada itu fenomena luar biasa adaptasi telah melibatkan naskhah karya William Shakespeare dalam pelbagai bentuk, pendekatan dan semangat yang merentas ruang dan budaya. Daripada muzikal Hollywood (West Side Story, 1961), epik sejarah Akira Kurosawa era Jepun feudal (Throne of Blood, 1957; Ran, 1985), komedi Bollywood (Angoor, 1982), hinggalah kepada filem romantis pengarah Perancis Eric Rohmer yang penuh kefalsafahan (A Tale of Winter, 1992).

Era 1990-an menyaksikan beberapa fenomena adaptasi sastera ke filem bagi sinema Anglo-Amerika. Ini termasuklah populariti filem-filem heritage (warisan) di Britain dan Amerika Syarikat (AS), kebanyakannya diangkat daripada novel Inggeris klasik (seperti karya Jane Austen dan E.M. Forster). Juga cukup popular adalah filem-filem thriller perundangan adaptasi novel John Grisham, daripada The Firm (1992) ke The Rainmaker (1995). Selain itu, era ini turut menyaksikan adaptasi karya penulis pulp novel genre jenayah era 1950-an, Jim Thompson, yang dipromosikan sebagai ‘neo-noir’: The Kill Off (1990), After Dark, My Sweet (1990) dan The Grifters (1990).

Seperti yang dilaporkan, 50 peratus daripada pengeluaran filem-filem Hollywood melibatkan karya adaptasi kerana kebanyakannya berjaya secara komersial. Seperti kejayaan adaptasi novel-novel karya J.R.R. Tolkien dan J.K. Rowling. Kini turut memperlihatkan adaptasi daripada sumber seperti permainan video (Lara Croft: Tomb Rider, 2001; Resident Evil, 2002) dan komik atau novel grafik (Ghost World, 2001; V for Vendetta, 2005). Fenomena terkini adaptasi di Hollywood memperlihatkan filem-filem adaptasi buku komik popular, terutamanya siri filem-filem adiwira terbitan Marvel Studios dan berdasarkan watak-watak yang muncul dalam buku komik terbitan Marvel Comics daripada The Avengers (2012) kepada Captain America: Civil War (2016).

Disiplin akademik film studies telah mendekati adaptasi dengan meneliti prosesnya, menegaskan kepentingannya kepada industri filem dan meraikannya sebagai satu genre filem. Tema atau topik yang sering diteliti dan dibahaskan termasuklah, persoalan kesetiaan (atau ketidaksetiaan) terhadap karya asal dan fokus terhadap aspek kespesifikan medium – contohnya, apa yang filem boleh lakukan tetapi novel/teater/permainan video tidak dapat lakukan dan sebaliknya? Dalam konteks filem, apabila perbandingan dilakukan (antara dua medium, contohnya sastera dan filem), sering kali dinafikan atau diketepikan hakikat kespesifikan (dan kekuasaan) medium sinema itu sendiri.

Perbahasan tentang kespesifikan medium sebenarnya telah lama berakar umbi sejak wacana kurun ke-18 lagi tentang perbezaan antara seni lukisan (imej) dan puisi (perkataan). Termasuk juga perbahasan yang diberi formulasi semula pada kurun ke-19 berhubung dengan filem dan novel, dua bentuk budaya yang sudah lama dianggap sebagai ‘saudara seni’. Sememangnya novel (terutamanya dari era Victoria) adalah medium yang begitu banyak diadaptasi ke filem dan menjadi tumpuan penelitian akademik yang utama, di samping pendekatan yang lebih luas meneliti adaptasi bahan-bahan bukan sastera dan yang bertaraf low-brow (berbudaya rendah).

Kajian-kajian ilmiah yang diterbitkan sepanjang dua dekad ini turut meneliti adaptasi sebagai penanda kepada perubahan sejarah yang turut memerihalkan konteks budaya dan sejarah tertentu, yakni konteks yang mempengaruhi dan mencorakkan sesuatu penghasilan adaptasi itu. Ini termasuk kajian-kajian kes terhadap teks-teks adaptasi yang sering tertakluk kepada penelitian dan tafsiran semula. Contohnya, pemilihan aktor kulit hitam memegang watak Heathcliff dalam adaptasi novel Emile Bronte, Wuthering Heights (2011) adalah salah satu contoh penyesuaian kontemporari yang signifikan terhadap karya-karya adaptasi sinema Britain.

Konsep-konsep kritikal seperti ‘intertekstualiti’ (yang sering dipinjam dari Mikhail Bakhtin dan Julia Kristeva) dan idea terhadap karya adaptasi sebagai palimpsest (sesuatu yang telah diguna pakai dan atau diubah suai tetapi masih lagi memperlihatkan bentuk atau semangat asal) adalah antara yang difokus dan dibahaskan dalam ranah film studies. Malah, daripada plagiarisme kepada parodi, kini ada penelitian yang cuba melihat adaptasi sebagai sesuatu yang lebih luas, inklusif, dinamik, multi-dimensi, hibrid dan menyimpang. Ini termasuklah konsep ‘transtekstualiti’ atau textual transcendence yang digagaskan oleh Gerard Genette, seorang pengkritik sastera Perancis.

Genette mentakrifkan ‘transtektualiti’ sebagai sesuatu yang melampaui ‘hubungan antara teks’ yakni hubungan antara teks yang mungkin nyata (manifestasi) atau secara rahsia, disengaja atau tidak disengajakan. Ini termasuklah kesukaran dan kesulitan untuk mengesan ‘sumber asal’ terutamanya apabila sesebuah filem itu diadaptasi daripada pelbagai teks atau sumber yang berbeza, rencam dan berlapis-lapis, selain yang sudah melalui pelbagai fasa terjemahan dan tafsiran. Contohnya, resepsi kritikal filem Perancis garapan Claire Denis, Beau Travail (1999). Rata-ratanya merujuk filem tersebut sebagai satu bentuk adaptasi tersendiri free adaptation terhadap novella Billy Budd karya Herman Melville.

Perkembangan gagasan pasca-strukturalisme dalam domain akademik Anglo-Amerika turut mempengaruhi kaedah adaptasi filem untuk didekati dan diteliti. Fokus kepada teks (dan hubungan antara teks) yang bersifat intrinsic (dalaman) telah digembleng bersama pendekatan yang mengambil kira dan memahami adaptasi filem sebagai kategori budaya. Kajian adaptasi kini diposisikan sebagai merentas segala sempadan teks-teks medium tertentu dan beroperasi dalam ruang lingkup industri, khalayak dan amalan budaya. Contohnya, mengambil kira aspek resepsi penonton/pembaca serta hal ehwal peminat (fandom) disebabkan ‘kelantangan’ kritikan peminat (pembaca/penonton terutamanya dalam talian) terhadap perubahan-perubahan yang dilakukan terhadap karya (asal) yang mereka gemari dan rayakan.

Selain itu, kajian terhadap adaptasi filem berhubung dengan konsep ‘transnasionalisme filem’ terutamanya fokus kepada suntikan unsur-unsur tempatan (termasuk pemindahan latar masa dan budaya) kepada cerita. Contohnya, bagaimana sinema Bollywood mengadaptasi dan memindahkan inti pati naskhah Shakespeare seperti yang dapat disaksikan menerusi ‘trilogi Shakespeare’ Vishal Bhardwaj: Maqbool (2003), Omkara (2004) dan Haider (2014)?