“Kiah dah usahakan bapak… tiada dalam carian talian atau buku rujukan”

Kiah telah ke Pustaka Ilmu dan mencari buku berkaitan Abang Apung tetapi gagal.

Laluan bawah tanah di Bulatan Temenggong Abang Kipali bin Abang Akip, Petra Jaya Kuching dalam proses pembinaan yang drastik. Kon merah putih dan hitam kuning mengelilingi bulatan tersebut. Jalan menjadi sangat sempit. Pemanduan harus berhati-hati terutama pada bulan yang selalu hujan.

 

Hujan lebat dan kerap di bulan Januari menyebabkan pemanduan perlu lebih fokus. Hati Kiah juga sering hujan sejak kebelakangan ini. Hujan lebat di hati harus dipandu dengan cermat agar hati tidak mudah patah pada gugahan perasaan. Memandu dengan cermat agar tidak melanggar kon atau bergesel dengan kereta orang lain. Seperti Kiah takut melukakan hati bapa.

Kiah tahu bapa tidak berkenan dengan pilihan Kiah. Banyak kiasan yang bapa guna. Kiah rakam segalanya dalam ingatan satu persatu.

“Abang Apung itu lelaki gagah. Dia bijak. Abang Apung yang mengetuai perang di muara. Kalah dalam catatan sejarah tetapi mereka sebenarnya menang. Peristiwa itulah telah menaikkan semangat anak peribumi. Mereka bersatu dan bangkit. Bangkit.”

Nakhoda harus bijak. Telah menjadi adat orang bersuami isteri, pahit manis sama dirasa, dalam surut ada pasangnya. Dalam susah ada senangnya. Dalam sempit ada lapangnya. Kalau sedikit, sesudu seorang, kalau banyak sesenduk seorang. Kalau untung, sama-sama timbul, kalau rugi sama-sama tenggelam. Kalau tebu, seruas seorang. Kalau nangka, seulas seorang. Payung sekaki, sama berteduh. Perahu sebuah, sama menyeberang.

Makan sepinggan, minum secawan. Duduk setikar, tidur sebantal. Sama melangkah seiring sejalan. Mudah-mudahan kasih abadi subur sepanjang zaman. Sayang pasangan sampai kiamat. Cinta tidak putus sepanjang hayat. Berani mati kerana cinta abadi. Pertahankan perkahwinan walaupun dilanda ombak bergulung tinggi. Nah!.

“Bujang Kip nakhoda Kiah bapa!”

Menjadi nakhoda seperti Abang Apung. Abang Apung itu berani, tangkas dan bijak. Bolehkah Bujang Kip seperti itu. Bapa selalu menjadikan Abang Apung itu sebagai contoh. Nama Abang Apung itu telah sekian lama bapa ulang dan ulang.

Menurut bapa Abang Apung itu pejuang. Semasa berlaku perang di Beting Marau, Abang Apung dan sahabatnya bernama Linggi menentang habis-habisan. Mereka tidak mengaku kalah dan memberi tentangan hebat kepada pihak lawan.

Abang Apung menurut bapa seorang yang berani mati menentang Raja Sarawak. Sanggupkah Bujang Kip seperti Abang Apung? Soal bapa pada satu pagi.

Bujang Kip itu Abang Apung. Bujang Kip juga bersemangat. Bujang Kip juga bijak. Bujang Kip juga berjaya melepasi halangan dalam hidupnya. Kalau Abang Apung berjaya melepasi Perang Beting Marau, Bujang Kip juga berjaya melepasi peperangan yang lebih besar iaitu dengan melayari hidup sendirian tanpa orang tua.

Aku memang tidak setangkas atau seberani Abang Apung tetapi aku juga tahu tentang tanah airku. Makna perjuangan. Abang Apung pejuang bangsa dan bukan pemberontak. Aku tahu siapa nakhoda bernama Lt. Everest dan J. Wallage. Bukankah mereka berdua yang berada di Beting Marau. Perang di Beting Marau adalah bukti bahawa nakhoda di negeri kita ini juga hebat pada waktu itu. Nakhoda yang bijak seperti Abang Apung.

Pak Udak tidak nampak aku nakhoda yang sempurna untuk Kiah. Boleh mengawal layar dengan cekap dan membaca rentak ombak.

Sayang Kiah kepada Bujang Kip sudah berputik sejak zaman sekolah rendah lagi kerana Bujang Kip selalu tolong Kiah. Mereka sama-sama pergi dan balik dari sekolah. Oleh kerana mereka berjiran setiap petang mereka bermain bersama di halaman rumah Kiah. Rumah Kiah ada pagar cantik dan banyak ditanam bunga orkid.

Tetapi sekarang Pak Udak telah berubah seperti berubahnya bulatan besar di Petra Jaya. Bulatan Temenggong Abang Kipali bin Abang Akip telah melalui proses perubahan. Laluan bawah tanah akan dibina memudahkan kenderaan menuju ke Petra Jaya, ke pusat bandar, Matang Baharu dan sebagainya. Ini bertujuan untuk memudahkan kenderaan melalui jalan itu pada masa akan datang. Laluan bawah tanah yang pertama untuk kawasan sebelah utara bandar raya Kuching setelah merdeka. Jangan kita menidakkan pengorbanan orang yang terdahulu. Apa yang kita nikmati hari ini adalah atas usaha mereka.

Walau sempit dan sesak, kenderaan tetap berjalan lancar. Kesukaran adalah cabaran. Seperti sukarnya percintaan Kiah dan Bujang Kip.

Bujang Kip tahu Pak Udak lebih berkenan dengan Sudin. Sudin tentera laut. Kedua-dua sangat penting untuk negara. Pak Udak nampak hanya Sudin yang boleh menjaga Kiah dan layak sebagai nakhoda.

Selesai tingkatan tiga, ibu bapa Bujang Kip meninggal dunia akibat kemalangan. Tiada siapa dapat menyekolahkan Bujang Kip. Semenjak hari itu dia mula berdikari. Kerja di bengkel Sim walau gaji sikit, tidak mengapa.

Rutin tugas Bujang Kip menyapu lantai, menyusun tayar terpakai, membuang sampah dan mengelap debu. Tekun Bujang Kip bekerja. Ringan tulang membantu Sim. Seperti Abang Apung yang rajin merencana tanah air tercinta. Rela melakukan kerja apa sahaja tanpa dikerah dan paksa. Kemahiran juga keperluan.

Pak Udak minta Kiah terima Sudin sebab keluarga Sudin datang hendak menyeruan Kiah. Kiah lari meninggalkan Pak Udak. Tidak sanggup Kiah bernikah dengan Sudin. Sudin bukan pilihan Kiah. Kiah menyewa rumah di Santubong berdekatan dengan sekolah tempatnya mengajar. Kiah sudah penat melalui simpang bulatan yang semakin sempit yang dikelilingi kon kuning hitam dan merah putih itu.

Selama ini sanggup Kiah berulang alik dari rumah ke Santubong demi kasih Kiah dengan bapanya. Sanggup Kiah meredah bulatan sempit itu. Penuh hati-hati bila Kiah keluar dari simpang. Kena awas dan peka. Kiah berjaya melepasi kesesakan itu setiap hari. Namun sesak lagi di dada Kiah dengan permintaan bapanya.

Pak Udak termenung di atas anak tangga setelah Sudin sekeluarga pulang dengan kecewa. Berat sangatkah permintaan aku ini Kiah. Aku memilih Sudin sebab Sudin kerja kerajaan bergaji tetap. Aku kenal ibu bapa Sudin. Kenal latar belakang keluarga Sudin yang menetap di Kampung Tupang. Hebat sangatkah Bujang Kip sehingga Kiah tidak boleh nampak lelaki lain. Sudin itu seperti Abang Apung yang mahir di laut sebab Sudin kerja sebagai tentera laut sudah tentu mahir menjadi nakhoda dan berjaya mengemudi rumah tangga.

Setiap kali bila bercuti, pasti Sudin datang berkunjung ke rumah Pak Udak, dibawanya dodol dan serunding daging dari Semenanjung. Hormat dan tertib tingkah laku Sudin. Itu yang Pak Udak berkenan.

Ibu bapa Sudin datang dengan hajat hendak ‘bertekol’ dengan Kiah. Cincin belah rotan diletak cantik di dalam bekas yang ditempah khas. Malam yang sepatutnya cincin telah tersarung di jari manis Kiah tetapi Kiah telah melarikan diri ke Santubong.

Pak Udak hanya nampak Sudin yang mampu menggalas tanggungjawab itu. Tidak sanggup Pak Udak melihat anaknya Kiah salah membuat pilihan. Antara Sudin atau Bujang Kip, yang paling layak Sudin.

Bujang Kip nampak dari celah jendela, kereta mewah besar keluar dari halaman rumah Kiah. Sah kini Kiah milik Sudin. Aku bukan orang yang layak untuk Kiah. Aku tidak boleh kecewa. Aku harus bersemangat seperti Abang Apung. Aku telah belajar belayar sejak mak ayah meninggal. Aku telah lali dengan ombak. Aku biasa bermain alun. Aku telah biasa ditolak.

Seperti pada tahun pertama Bujang Kip kerja dengan Sim, Sim hanya minta Bujang Kip pegang penyapu sahaja. Tapi itu bukan alasan untuk tidak mahu belajar. Daripada tukang sapu beralih kepada tugas yang lebih mencabar. Bujang Kip sendiri yang suka belajar dan tekun. Tidak berkira walau bekerja lebih masa.

Belum sempat Bujang Kip hendak ‘menyeruan’ Kiah, Pak Udak telah awal-awal meminta Bujang Kip lupakan Kiah. Bujang Kip reda.

Aku suka Sudin sebab dia askar. Sebab lain, Pak Udak cuba memikirkan apakah sebab lain dia lebih berkenan sangat dengan Sudin. Adakah kerana dodol dan serunding? Atau mungkin Sudin tentera laut persis Abang Apung.

Malam itu selepas keluarga Sudin meninggalkan rumah, Pak Udak minta Bujang Kip menemaninya di rumah. Sungguh kasihan Bujang Kip melihat wajah muram Pak Udak. Tidak dapat disembunyikan raut kecewa Pak Udak pada malam itu.

Kepala Pak Udak berasa sangat berat. Dua biji kapsul yang ditelan tadi seperti tiada makna. Dicubanya untuk melelapkan mata namun gagal. Kedatangan Sudin petang itu masih jelas dalam ingatan Pak Udak. Seperti biasa dibawanya dodol dan serunding.

Sudin datang sambil mata melilau mencari Kiah. Sudin berdiri di beranda rumah. Nampak under pass yang dalam proses pembinaan itu akan memberi kesan kepada rumah Kiah dan rumah yang berhampiran. Lebar senyuman Sudin sehingga tidak perasan Pak Udak memerhati tingkahnya.

Hari itu buat pertama kalinya Pak Udak rasa dodol dan serunding sudah tidak sedap seperti sebelumnya. Tidak seenak yang pernah dia makan sebelum ini. Seperti melekat pada kerongkong dan tidak mampu ditelan. Sungguh ikhlas Bujang Kip melayan aku selama ini tapi aku tidak nampak itu. Sedikit kesal dalam hati Pak Udak.

Sungguh cantik rencana Tuhan. Kita merancang, Allah juga merancang dan pasti perancangan Allah yang terbaik.

Bunyi enjin kereta di parkir di halaman rumah. Kiah balik. Pak Udak gembira Kiah akhirnya balik. Kiah meluru ke arah bapa. Mencium tangan Pak Udak. Mata Kiah dan Bujang Kip bertembung. Rindu Kiah dengan bapa sama berat rindu Kiah dengan Bujang Kip. Dua lelaki yang dicintainya sepenuh jiwa. Kiah menangis dalam rangkulan bapa. Kiah berjanji bapa. Kiah akan menuruti segala permintaan bapa.

Pak Udak terharu. Ah! Kenapa aku orang tua yang tidak belajar daripada pengalaman. Tidak kenal makna dodol dan serunding. Sudin datang berhajat dua. Hampir aku buta menilai itu semua.

Pada saat Bujang Kip meminta diri untuk keluar, Pak Udak menarik tangan Bujang Kip.

“Abang Kip bin Abang Seruji, setujukah awak jadi nakhoda kepada Dayang Norkiah?”

Bujang Kip masih ingat pesanan Pak Udak semalam. Menjadi ketua nakhoda harus adil. Kalau tebu, seruas seorang. Kalau nangka, seulas seorang. Payung satu, sama berteduh. Perahu satu, sama menyeberang. Makan sepinggan, minum secawan. Duduk setikar, tidur sebantal.

Aku akan buka bengkel aku sendiri Pak Udak. Aku Abang Apung Jalan Merdeka.

  • Cerpen yang disiarkan adalah rekaan semata-mata. Setiap watak, tempat dan masa tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Sekiranya ada persamaan itu hanyalah kebetulan.