Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, tiada lagi keperluan untuk UPSR dilaksanakan kerana murid-murid terpaksa menanggung beban untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Kata beliau, pemansuhan UPSR dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kepada murid-murid selain mengubah persepsi segelintir masyarakat yang menganggap penilaian A itu sebagai kayu pengukur kualiti seseorang.

“Pemansuhan UPSR tidak bermakna murid tidak akan dinilai khususnya untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP).

“Murid akan tetap dinilai seperti ujian berasaskan pentaksiran oleh sekolah masing-masing dan bukan lagi berorientasi peperiksaan berpusat semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Huat Hock, NUTP pernah bersetuju dan menyokong cadangan pemansuhan UPSR pada 2016 tetapi sehingga kini tiada maklum balas diterima daripada Kementerian Pendidikan. - UTUSAN ONLINE