Abdul Aziz, 24, berkata, cabaran yang dialami sepanjang pengajiannya di Marsah cukup besar dan berkat sokongan dan pertolongan rakan-rakannya dia mampu mengharungi dengan jayanya.

Penerima Anugerah Khas Konvokesyen Marsah ke-19 itu berkata, antara cabaran terbesar buatnya ialah daripada segi alat bantuan pembelajaran kerana tidak semua pengajian yang diambil mempunyai bahan rujukan dalam tulisan Braille.

“Apa yang dilalui ini adalah cabaran besar buat saya kerana saya terpaksa usahakan sendiri. Namun, syukur saya dikurniakan rakan-rakan yang baik hati membantu saya seikhlas hati dalam pembelajaran, pengangkutan dan keperluan lain.


 PENERIMA Anugerah Khas Abdul Aziz Tasri bergambar bersama-sama ibu bapanya yang juga cacat penglihatan selepas Majlis Konvokesyen  Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) ke-19 di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

“Inilah yang memberikan motivasi kepada saya untuk menamatkan pengajian. Walaupun saya cacat penglihatan, itu tidak bermakna saya lemah tapi lebih bersemangat untuk berjaya seperti pelajar yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Marsah ke-19 di Pusat Islam di sini hari ini.

Anak tunggal kepada pasangan cacat penglihatan itu berkata, dia mengambil masa selama hampir tiga tahun untuk menghafaz al-Quran menggunakan al-Quran braille.

Katanya, ibunya, Jamaliah Makrop, 60, hilang deria penglihatan ketika berusia belasan tahun manakala bapanya, Tasri Samin, 63, cacat penglihatan sejak dari lahir.

“Saya menghafaz dua muka surat al-Quran setiap hari iaitu pada selepas solat Maghrib dan selepas bangun awal pagi kira-kira pukul 4 pagi.

 

“Walaupun keadaan saya sebegini, saya bercita-cita menjadi seorang yang pakar dalam bidang al-Quran dan mempunyai keinginan tinggi untuk mengajar mengaji pada masa akan datang selain membantu orang kurang upaya (OKU) membaca dan menguruskan diri,” katanya.

Anak kelahiran Benut, Pontian itu amat berharap untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak dalam Ijazah Sarjana Muda Tahfiz, al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan. - UTUSAN ONLINE