Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, teknologi sudah mula menguasai sebahagian besar alam pekerjaan dan kehidupan, malah ada yang mengatakan bahawa kemahiran yang kita pelajari dalam pendidikan formal kini sudah tidak ‘relevan’ untuk masa akan datang.

Kini, titah baginda, perkataan-perkataan seperti robot, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), inovasi dan teknologi disruptif sering kita dengar apabila membicarakan mengenai Revolusi Industri 4.0.

Oleh itu, titah baginda, guru dan pelajar perlu bersedia untuk mengintegrasi luasan realiti (augmented reality) dalam pengajaran dan pembelajaran mereka khususnya dalam menghadapi pelajar ‘Generasi Z’.

"Pengintegrasian luasan realiti dalam pengajaran membolehkan pelajar memahami sesuatu konsep dengan lebih baik," titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran kempen ‘Op Sifar Cicir Sekolah peringkat SMK Syed Hassan, Kolej Vokasional Kangar dan SK Seri Indera’ yang diadakan di Masjid Alwi Kangar pada petang semalam.

didik-1
 

Keberangkatan tiba baginda ke sesi terakhir program yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada tahun ini disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Di majlis yang sama seramai 193 orang pelajar terpilih dari kalangan keluarga asnaf masing-masing menerima sumbangan agihan zakat berjumlah RM600 daripada pihak MAIPs bersempena program ini.

Mengulas lanjut Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran perlu kepada pendekatan berfokus kepada pelajar yang berkolaborasi serta saling bergantung antara satu sama lain.

"Semoga lebih ramai barisan pelapis yang inovatif dan dinamik dalam penghasilan inovasi dapat dihasilkan melalui pendekatan kreativiti dan ‘value creation’," titah baginda.

Bersempena program tersebut yang disekalikan dengan kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-49 bagi tahun ini juga, Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah merasmikan projek peningkatan sosio ekonomi asnaf MAIPs berupa sebuah ‘Bengkel Cat Kereta’ diusahakan oleh Yusri Lou Abdullah, 42 tahun (No Tel: 0174047226) yang beroperasi sejak 2012 di Kampung Padang Nyaring Bintong, Kangar yang pernah menerima sumbangan MAIPs berjumlah RM2,750 untuk bantuan modal sebelum ini.