Timbalan Pengarah Tabung Haji Negeri Sembilan, Abdul Malek Hassan berkata, seminar itu membantu para pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan hujung tahun ini dan mendedahkan mereka dengan teknik-teknik menjawab soalan mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains dan Matematik.

“Program di bawah kendalian Berkat Minda Resources ini melibatkan 11 buah sekolah sekitar daerah Port Dickson dan mendapat sambutan di luar jangkaan daripada para peserta dan merupakan siri jelajah keempat selepas Perak, Wilayah Persekutuan dan Johor.

“Calon-calon yang merupakan ahli Kelab Taha sangat bertuah kerana kami membawakan barisan guru bimbingan dan penceramah yang bukan sahaja berpengalaman mengajar tetapi turut mempunyai pengalaman terlibat dalam panel menggubal soalan peperiksaan,” katanya ketika ditemui semasa program itu di sini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Berkat Minda Resources, Mahmod Mat Ali.

Abdul Malek berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak Tabung Haji saban tahun itu harus didokong bersama untuk memastikan kecemerlangan anak-anak berada pada tahap maksimum.

“Sebagai badan korporat, kami tidak mahu hanya dikenali sebagai agensi yang menguruskan jemaah haji semata-mata tetapi juga menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan menyeluruh meliputi sekolah rendah, menengah dan peringkat universiti dan ia menjadi salah satu keutamaan kami.

“Penglibatan lain kami dalam aktiviti kemasyarakatan contohnya menyumbangkan van jenazah bagi kegunaan komuniti setempat dan turut membantu dalam membangunkan kembali infrastruktur yang rosak selepas banjir besar di Kelantan dahulu,” tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Fasilinus, Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, Noor Fazliyaton Ghani berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama mana-mana agensi dan seminar seumpama itu amat baik untuk calon SPM mendapat pelbagai input bagi menghadapi peperiksaan.

“Satu program yang sangat baik hasil daripada inisiatif pihak Tabung Haji dalam menyumbang sesuatu kepada masyarakat terutama dalam bidang pendidikan. Justeru, kita gunakan peluang dan ruang yang ada sebaiknya,” katanya. - UTUSAN ONLINE