Menurutnya, dia juga diminta untuk tidak lagi memberi gambaran buruk terhadap imej pihak berkuasa di Mesir dan Israel dalam platform berkenaan kerana tindakannya itu bakal mengganggu keseluruhan perjalanan program misi berkenaan.

“Saya menerima teguran daripada suami kerana ia membabitkan soal keselamatan ahli rombongan yang terlibat ketika misi kemanusiaan itu sedang berlangsung di sana.

“Macam-macam perkara yang boleh berlaku sepanjang ditahan pihak berkuasa berjam-jam lamanya di situ hanya disebabkan hantaran Instagram saya itu.

“Untuk mengelakkan keadaan yang sama berulang, saya tidak boleh membuat hantaran yang menyentuh sensitiviti pihak berkuasa agar misi kemanusiaan Malaysia di Gaza berjalan lancar,” katanya kepada Utusan Online.

Pada masa yang sama, wanita ini akur dengan kuasa tular berpotensi menjadikan setiap isu yang diketengahkan dalam media sosial pasti dengan mudah mendapat perhatian ramai pada zaman dunia tanpa sempadan ini.

Atas sebab itu, perlu lebih peka dan beringat-ingat supaya tidak lagi membuat hantaran yang menyentuh kredibiliti mana-mana pihak biarpun perkara itu bertentangan dengan prinsip hidupnya.


Paparan skrin dalam akaun Instagram milik pelakon dan pengacara ini mendapat perhatian pihak berkuasa di Israel dan Mesir. - UTUSAN ONLINE

“Saya jenis yang bersuara lantang dan tegas terhadap perkara-perkara yang menentang kemungkaran sepanjang melaksanakan misi dakwah saya selama ini.

“Buat apa nak takut kalau perkara itu betul-betul salah. Tapi mungkin selepas ini saya perlu memikirkan pendekatan lain agar terus membela nasib umat Islam dunia yang ditindas oleh manusia durjana,” katanya lagi.

Pada 18 Julai lalu, penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi memaklumkan dia bersama rombongan delegasi Malaysia untuk misi #wakeupforgaza ditahan tentera Mesir.

Rombongan yang sama turut disertai suami Yatt itu terkandas berjam-jam di Rafah sebelum diarahkan berpatah balik semula ke Gaza tidak lama kemudian.- UTUSAN ONLINE