Tambahan pula apabila ia membabitkan isu keistimewaan dirinya berbanding penyampai berita sedia ada. Sebenarnya isu sedemikian sangat sensitif. Begitu juga ada yang mempertikaikan kredibiliti diri, perlukah dia melayan isu sebegitu?

Atas sebab itu, dia mengambil pendekatan berdiam dia. Hakikatnya, gadis berusia 24 tahun ini sendiri tidak menyangka carta kerjayanya dalam bidang penyiaran meningkat dengan sebegitu pantas.

Dalam tempoh kurang dua tahun terlibat sepenuhnya dalam bidang tersebut, dia berada dalam kedudukan yang agak selesa. Mudah kata, Hawa berada di tempat idaman buat semua penyampai berita di stesen televisyen.

“Apa yang berlaku semuanya kerana rezeki, saya sendiri tidak menyangka perjalanan kerjaya dalam dunia penyiaran terjadi dengan sebegitu pantas. Saya sekadar menjalankan tugas dengan sehabis baik, itu saja yang dipraktikkan.

“Bukan disebabkan saya kesayangan sesiapa atau pun nak kejar glamor. Sebaliknya saya percaya dengan mempamerkan prestasi dan komited kerja yang memberangsangkan, orang sekeliling akan menilai kemampuan sebenar kita,” jelasnya berhubung isu pekerja kesayangan.

Dia yang dilahirkan di Illinois, Amerika Syarikat (AS) ini mengamalkan resmi padi, semakin berisi makin tunduk dalam rutin kerjanya. Sementelah masih baharu, dia perlu menuntut lebih banyak ilmu daripada pakar dalam bidang penyiaran.

Bagi menguasai pengetahuan dan kemahiran, Hawa kini sedang menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang komunikasi dan pengajian media di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Dia dijangka menamatkan pengajiannya pada tahun depan.

 

“Semakin orang cakap yang bukan-bukan, semakin saya mahu membuktikan apa kualiti dan usaha yang dilakukan untuk membuktikan tanggapan mereka salah. Saya bukannya mahu bersikap defensif dalam hal ini.

“Cuma berilah masa kepada saya untuk membuktikan kemampuan sebenar. Barulah adil daripada membuka spekulasi berdasarkan tanggapan sendiri,” ujar Hawa lagi.

Hawa ditawarkan kerja sebagai penyampai berita ketika masih menjalani latihan industri pada September 2017. Lepas lebih setahun, dia bertugas sebagai pembaca berita di TV3 bermula 1 Januari lalu.

Dia idolaku

DALAM membina nama dalam bidang penyiaran, sebenarnya anak kedua daripada tiga adik-beradik ini bertuah kerana mendapat galakan daripada bapa kesayangan, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman. Beliau juga pensyarah UiTM Shah Alam.

Bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) sekitar 90-an itu juga yang banyak memberi galakan kepadanya untuk lebih memahami selok-belok dalam dunia penyiaran. Pemahaman itu yang menyebabkan dia tertarik untuk berkongsi minat yang sama dengan lelaki berkenaan.

“Bapa menerapkan kepentingan membaca surat khabar sejak kecil lagi kerana banyak pengetahuan am di situ. Saya juga diminta untuk membaca berita dalam surat khabar itu dengan suara yang kuat supaya lebih faham tentang nilai sesuatu berita.

 

“Kalau ada terma atau perkara yang tidak faham dalam bidang yang sama, dialah tempat rujukan saya. Bukan hal belajar saja saya rujuk, macam-macam hal lagi. Pendek kata, bapa adalah idola saya,” kata anak kedua daripada tiga adik-beradik ini.

  • Mahu menjadi seorang pereka fesyen sebab suka berimaginasi tentang baju cantik sewaktu kecil dulu. Disebabkan minat fesyen, Hawa kerap melakar baju kalau pen dan kertas di depan mata. Sebelum ini, dia pernah menjual baju kurung dan kurta secara dalam talian pada Ramadan 2017.
  • Entahlah macam mana, dia amat meminati dunia kulinari. Kalau ada program masakan dalam laman sosial, sering juga menonton dan mendapatkan inspirasi kalau ke dapur nanti. Sebab itu, cita-cita menjadi tukang masak dan membuka kedai makan sendiri itu tak pernah hilang dalam ingatannya.
  • Teringin juga nak menjadi pensyarah kerana mahu mendidik generasi akan datang. Penekanan bukan saja dari segi pembelajaran tetapi set minda, sikap serta penampilan. Barulah menjadi pelapis generasi terbaik masa hadapan.
  • Bercita-cita untuk menjelajah seluruh dunia. Nak melihat keindahan negara orang dengan mata kepala sendiri. Kalau ada rezeki, peluang sebegitu tidak akan dilepaskan begitu sahaja.
  • Suka menonton filem atau drama bersiri genre komedi, misteri, mistik dan cerita hantu. Antara naskhah yang kerap mendapat perhatian adalah Friends, Big Bang Theory, Papadom, Law and Order, CSI Miami / New York dan Gone Girl.
  • Peminat kata-kata hikmah. Setiap hari Hawa akan melayari bait kata-kata yang berpotensi menyuntik aura positif dalam diri. Barulah kehidupan harian menjadi lebih bersemangat dan indah.
  • Mengusik kanak-kanak adalah kegemarannya. Kalau boleh sampai menangis diusiknya, baru puas hati. Perasaan geram itu juga ada setiap kali berjumpa dengan bayi kecil, siaplah.
  • Pernah mewakili Malaysia untuk persembahan tarian di Hungary sempena Festival Royal Days (Kiralyi Napok) pada 2015. Masa itu berusia 19 tahun. Hawa memang seorang yang sangat aktif dalam bidang tarian sejak sekolah rendah hinggalah zaman universiti. Selain itu, pernah mewakili Malaysia ke Eropah.
  • Peminat sukan badminton. Satu kepuasan buat diri sendiri apabila dapat bermain sampai berpeluh-peluh. Kalau tak sempat, pergi bersukan di gimnasium. Janji berpeluh.