Perkara itu pernah dibangkitkan seniman Datuk Aziz Sattar kira-kira empat tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Hasrat itu telah diluahkan kepada bekas wartawan hiburan yang juga seorang pengkritik, penganalisis dan penulis buku filem, Mustafar A.R atau nama sebenarnya Mustafar Abdul Rahim.

Mustafar merupakan wartawan Utusan Malaysia yang mula bertugas pada 1971. Beliau telah diberi kepercayaan oleh Aziz untuk mendokumentasi dan membukukan sejarah perfileman Melayu bagi dijadikan bahan rujukan serta memberikan maklumat tepat kepada orang ramai.

Menurutnya, dalam satu pertemuan makan tengah hari bersama arwah, Allahyarham Sani Abdullah dan Datuk Rosnani Jamil di Saloma Bistro pada 2010, beliau telah diminta oleh Aziz untuk merekodkan fakta berhubung filem Melayu.

Pernah bertugas sebagai Ketua Meja Hiburan Utusan Malaysia, Mustafar berkata, Aziz menaruh keyakinan tinggi kepadanya untuk mengumpul fakta dan maklumat tepat tentang sejarah perfileman Melayu.

“Setelah diminta berbuat demikian oleh Allahyarham Aziz, saya telah melakukan kaji selidik dan mendapatkan maklumat dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Singapura bermula pada 2010.

“Sejak itu saya sering berulang-alik ke Singapura bersama arwah bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk dibukukan dalam satu naskhah istimewa.

“Namun pada 2014, abang Aziz menghembuskan nafas terakhir menyebabkan usaha saya terhenti seketika,” katanya kepada S2 dalam majlis pelancaran buku 50 Tahun Filem Malaysia dan Singapura (1930-1980) di Istana Budaya, baru-baru ini.

SEMANGAT YANG HILANG

Mengulas lanjut Mustafar berkata, pemergian Aziz buat selama-lamanya menyebabkannya seakan patah semangat. Justeru, kerja-kerja mengumpul data dan mengkaji filem Melayu terhenti seketika selama setahun.

Katanya, ketika itu hampir 60 peratus maklumat telah dikumpul bersama arwah.

“Saya berasakan sudah tidak lagi berdaya untuk meneruskan kerja-kerja mengumpul data dan mengkaji kerana tugas tersebut bukan mudah,”tambahnya.

Namun katanya, beliau akhirnya tersedar berhubung tanggungjawab dan harapan besar Aziz untuk melihat sebuah catatan sejarah perfileman Melayu dengan fakta yang tepat dapat dihasilkan.

Jelasnya, Aziz menaruh harapan tinggi kepadanya untuk menghasilkan buku tersebut sekali gus menjadi rujukan dan panduan masyarakat umum mengenai filem Melayu di Malaysia dan Singapura.

Katanya, semua itu selari dengan hasrat dan tujuan mereka berdua sebelum ini untuk membetulkan kesilapan maklumat yang berlaku dalam buku-buku terdahulu selain menambah fakta baharu mengenai sejarah filem Melayu bermula dari tahun 1930-an sehingga 1980-an.

“Saya ingat kembali kata-kata yang pernah diucapkan oleh arwah iaitu ‘Mus, abang Aziz risau... kerana bila abang Aziz baca buku-buku berkaitan perfileman Melayu, terdapat kesalahan dan fakta tidak tepat. Jadi, abang Aziz mahu Mus siapkan sebuah buku mengenai perfileman Melayu dengan fakta yang betul’.

“Saya sendiri tidak menyangka arwah seorang yang particular, malah perasan terdapat fakta tidak tepat dalam buku yang berkisar sejarah filem Melayu. Mengingati pesanan tersebut, saya kembali bersemangat untuk menyiapkan tugas dan amanah yang terhenti seketika walaupun terpaksa bersendirian ke Singapura bagi membuat kajian. Perasaan sedih tetap ada kerana ketiadaan arwah,” katanya.

Selain itu menurutnya, cabaran lain yang terpaksa diharunginya bagi menyiapkan naskhah istimewa itu adalah terpaksa berulang-alik ke Singapura, mengeluarkan modal yang agak besar dalam menampung kos perjalanan dan penginapan di Singapura serta sukar untuk diterbitkan ekoran beberapa faktor.

CABARAN BERMULA

Mustafar berkata, apabila berjaya menyiapkan manuskrip buku 50 Tahun Filem Malaysia dan Singapura (1930-1980), beliau telah menawarkan hasil kerja itu kepada beberapa buah badan yang terlibat dengan industri perfileman negara bagi menerbitkan naskhah yang sangat diinginkan oleh Allahyarham.

Jelasnya, beliau menawarkan hasil kerjayanya kepada beberapa pihak tertentu kerana menyedari badan tersebut mempunyai dana atau peruntukan bagi menerbitkan naskhah yang penting kepada industri perfileman negara ini.

Namun dakwanya, harapan tersebut musnah apabila tiada sebarang perkhabaran dan jawapan diterima daripada pihak tersebut berhubung perkara untuk menerbitkan naskhah itu sekali gus membuatkan hati dan perasaannya berkecai.

“Namun Allah memberikan jalan lain kepada saya apabila Pengurus Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd., Abdul Halim Pekan Iskin bersetuju untuk menerbitkan buku 50 Tahun Filem Malaysia dan Singapura (1930-1980) dengan mengemukakan beberapa cadangan lain bagi memastikan buku ini boleh dijual di pasaran.

“Abdul Halim mahu naskhah ini dihasilkan dengan kos yang tidak begitu tinggi kerana tidak mahu menjual buku tersebut dengan harga yang mahal kepada orang ramai. Buku itu juga tidak perlu dihasilkan secara ‘grand’ atau cantik. Biar murah tetapi isi di dalam terbaik kerana tujuan asal kita adalah hendak sebar luas maklumat tepat berhubung sejarah perfileman negara kepada orang ramai,” katanya.

Ditanya mengapa mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan naskhah itu, Mustafar berkata, beliau tidak mahu membuat kerja sekadar melepaskan batok di tangga.

Tegasnya, usaha mengumpul maklumat dan fakta yang tepat adalah tugas penting kerana bahan sejarah memerlukan pengkajinya membuat kaji selidik yang mendalam.

Jelasnya, bukan sekadar mengumpul fakta yang terdapat dalam majalah biasa atau maklumat diterima daripada orang ramai, tetapi beliau terpaksa menghabiskan masa yang lama untuk merujuk bahan atau maklumat di Perpustakaan Singapura.

“Kalau kita nak buat secara cincai (sambil lewa), sudah lama buku ini siap. Kalau setakat ambil dari akhbar dan majalah lama, seterusnya tampal (copy and paste), saya rasa dalam masa dua tiga bulan, sudah boleh siap.

“Alhamdulillah setelah hampir sembilan tahun, naskhah ini berjaya disiapkan. Semoga usaha ini melunaskan ‘hutang’ saya kepada Allahyarham sekali gus merealisasikan hajat arwah untuk melihat naskhah ini diterbitkan,” katanya.