Kedua-duanya dialih suara ke bahasa Melayu. Selain itu, saya pernah menonton filem Bajau Anak Laut (Lamberto V. Avellana, 1957) yang juga dialih suara ke bahasa Melayu dan diedarkan Cathay-Keris, Singapura (judul Inggerisnya Badjao: The Sea Gypsies). Pendedahan tadi membawa saya mengikuti dan akhirnya menggemari filem-filem Filipina, yang pada pandangan saya, antara sinema terbaik Asia-Tenggara. Apatah lagi dengan kemantapan pengisian cerita, kehebatan persembahan lakonan, dan kecemerlangan estetika. Sinema Filipina kini bukan sahaja ditandai penerbitan filem yang prolifik saban tahun tetapi turut memperlihatkan keseluruhan budaya sinema yang menggalakkan.

Tahun ini sinema Filipina mencecah usia 100 tahun. Baru-baru ini Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah menurunkan tandatangan dan melakukan pengisytiharan secara rasmi terhadap sambutan ulang tahun ke-100 sinema Filipina, bermula dari 12 September 2019 hinggalah 11 September 2020. Sambutan ini juga adalah untuk memberikan penghormatan kepada filem Filipina pertama yang dihasilkan anak tempatan, Dalagang Bukid diarah dan diterbitkan Jose Nepomuceno menerusi syarikatnya, Malayan Movies. Nepomuceno adalah tokoh perintis yang digelar ‘Bapa Sinema Filipina’. Tayangan perdana Dalagang Bukid telah mengambil tempat pada 12 September 1919.

Pengisytiharan tersebut juga menyebut tentang komitmen pihak pemerintah yang sepatutnya berperanan dalam memelihara, mempromosi dan mempopularkan warisan dan sumber sejarah serta budaya, selain karya artistik. Penghormatan terhadap Dalagang Bukid adalah sebahagian usaha melestari dan memperkasakan aset-aset budaya yang menjadi antara objektif di bawah Pelan Pembangunan Filipina, 2017-2022. Di samping itu, pengisytiharan tersebut turut menggesa FDCP (Film Development Council of the Philippines) untuk mengemudi sambutan perayaan ulang tahun ke-100 sinema Filipina ini dengan mengenal pasti dan menjayakan acara, projek dan aktiviti berkaitan. Sebenarnya sambutan ulang tahun ke-100 sinema Filipina telah pun bermula semenjak tahun lalu. Contohnya, Festival Filem Antarabangsa Busan, Korea Selatan (Oktober 2018) telah mengadakan satu segmen khas sinema Filipina. Di Filipina, siri forum, syarahan dan persidangan tentang sinema Filipina telah mula diadakan di serata tempat, dari Muzium Ayala ke University of Philippines Film Institute.

Perkembangan sinema Filipina sepanjang 100 tahun ini sudah tentu memperlihatkan detik jatuh-bangun, suka-duka, dan pahit-manis, yang membawa kepada sinema Filipina hari ini. Sebelum Nepomuceno menghasilkan filem pada tahun 1919, budaya filem telah wujud seawal tahun 1897. Filem pertama mendokumentasikan kehidupan sekitar Manila dihasilkan Antonio Ramos, seorang pegawai tentera berketurunan Sepanyol pada tahun 1898. Ini diikuti dengan beberapa buah epik/biopik sejarah terbitan penerbit dari Amerika Syarikat (AS) seperti The Life of Jose Rizal (1912) dan El Filibusterismo (1916), kedua-duanya diarahkan Edward M. Gross.

Sistem studio mula dibangunkan dari era 1930-an yang telah mencorakkan sinema Filipina hinggalah ke era 1950-an. Studio-studio seperti Parlatone Hispano-Filipino, Sampaguita Pictures, dan LVN Pictures – menyumbang dalam menghasilkan kira-kira 50 buah filem setahun. Ketika itu, sistem studio turut memberi peluang kepada pengarah wanita seperti Carmen Concha dan Brigida Perez Villanueva, serta produser dan pemilik studio filem (LVN) wanita seperti Narcisa Buencamino vda. De Leon (atau ‘Dona Sisang’) yang turut dikenali sebagai grand old lady of Philippine movies (merupakan nenek kepada pengarah Mike De Leon).

Era selepas Perang Dunia II dianggap sebagai ‘era emas’ dengan studio-studio menghasilkan lebih 100 filem setahun dengan cita rasa khalayak yang cenderung kepada filem-filem bergenre seperti filem perang, muzikal, fiksyen sains, dan epik sejarah ala swashbuckling. Ketika ini muncul sejumlah sutradara hebat seperti Manuel Conde, Lamberto V. Avellana, Gerardo De Leon, Eddie Romero, dan beberapa lagi. Era 1960-an menyaksikan kemeruduman sistem studio apabila filem-filem Filipina terpaksa bersaing dengan filem-filem import dari AS, Eropah dan Mexico.

Syarikat-syarikat produksi independent milik Fernando Poe, Jr. dan Joseph Estrada cuba menjejaki model-model perniagaan baharu dengan merintis tradisi filem usahasama AS-Filipina yang menyasarkan kepada pasaran filem eksploitasi (picisan) yang sedang berkembang pesat seantero dunia ketika itu. Eddie Romero (beralih arah ke genre ini) dan Cirio Santiago antara sutradara yang dikaitkan dengan filem eksploitasi daripada filem seram dan raksasa, filem koboi dan James Bond saduran hingga kepada filem ‘wanita-dalam-penjara’ – yang ada di antaranya telah mencapai status kultus (cult). Penghujung era 1960-an turut dibanjiri dengan filem-filem ‘seksploitasi’ (dikenali sebagai genre ‘bomba’). Genre ini dihentikan penghasilannya ketika Ferdinand Marcos menjadi presiden dan melaksanakan undang-undang tentera (dengan penapisan filem yang ketat).

Era rejim Marcos dengan polisi yang bersifat menindas telah mencetuskan kebangkitan sejumlah sutradara menghasilkan filem-filem berkesedaran sosial dan politik yang tinggi. Dengan paparan isu sehari-hari, realiti getir serta disulami komentar sosio-politik, filem-filem mereka menyaksikan pelbagai stail, pendekatan dan/atau genre. Ini dapat disaksikan dalam karya pengarah seperti Lino Brocka, Ishmael Bernal, Mario O’Hara, Celso Ad. Castillo, Marilou Diaz-Abaya dan Mike De Leon, yang membawa kembali ‘era emas’ sinema Filipina buat kali keduanya. Malah, turut muncul gerakan filem dan video eksperimental– antara pengarah yang terkenal adalah Kidlat Tahimik dengan karyanya yang diraikan hingga hari ini, Perfume Nightmare (1977).

Semenjak era 1980-an, para pembikin filem bergelut dalam sistem yang dikenakan cukai tinggi dan menjadi mangsa lanun cetak rompak yang berleluasa. Namun, para pengarah era emas kali kedua cukup berpengaruh dan turut menginspirasikan para pengarah sinema Filipina kontemporari seperti Lav Diaz, Brillante Mendoza, Raya Martin, Erik Matti, John Torres, Adolfo Alix Jr., Sheron Dayoc dan beberapa lagi. Mereka ini yang rata-ratanya muncul ketika era digital telah dan sedang mentakrifkan semula sinema Filipina dengan pelbagai eksperimentasi, pendekatan yang inovatif dan pengisian yang provokatif.