Nak dicerita panjang lebar, ibaratnya macam tak cukup muka surat pula nanti. Tak apalah. Kita bentangkan apa yang wajib sahajalah ya.

Sejujurnya Mary belum sempat tengok lagi drama yang sedang bersiaran di saluran TV3 ini. Iyalah, sibuk ke sana ke mari, balik kerja pun dah lewat malam, mana ada masa nak menonton.

 

Mary dengar ada yang tak puas hati dengan drama ini dari pelbagai sudut teknikal dan hal formal.

Ada yang mengadu, pihak penerbit dan artis macam tak peka dan tak ada inisiatif untuk memaparkan pemakaian seragam tentera darat dengan betul selain beberapa kesalahan tatacara lain. Kalau ikutkan, ada benarnya pandangan sebegitu dilontarkan. Bak kata orang, janganlah buat sesuatu naskhah drama atau filem tu dalam skala asal boleh sahaja.

Apa lagi apabila menghasilkan sebuah naskhah melibatkan pasukan beruniform. Pula tu, untuk ditayangkan pada umum dan mungkin juga di mata orang luar.

Apabila aspek teknikal seperti itu pun tidak dipandang serius oleh pihak penerbit, pengarah dan artis, macam mana tu?

Macam mana nak timbulkan rasa bangga atau memotivasikan anak-anak muda untuk menghormati bidang tersebut?

Mary setuju kalau ada yang kata filem Paskal dilihat lebih berkualiti dalam hal ini. Tengoklah inisiatif yang diberikan oleh setiap pasukan produksinya termasuk barisan artis.

Mereka siap buat kajian sendiri daripada pelbagai aspek sebelum penggambaran dijalankan. Sebab itulah, ramai yang kagum dan berbangga dengan kejayaan filem tempatan itu.

Mary pun tak suka bila orang ramai memperlekehkan karya anak tempatan kita, apatah lagi karya anak Melayu.

Tapi macam manalah tak kena kecam, kalau buat pun asal boleh? Tahun depan dah nak masuk wawasan 2020 dah. Tapi filem dan drama kita ada kualiti sesetengahnya masih di takuk lama.

Satu lagi, betul ke Mary dengar Janna dan pengarah yang juga pelakon filem itu, (siapa lagi kalau bukan Sheila Rusly), sedang bermasam muka sekarang?

Ish... pandai-pandai sahajalah warganet kita ni. Setahu Mary, mereka berdua okey sahaja. Hubungan macam mak dan anak, kalau ya pun dingin, perkara macam tu sekejap sahaja tu.

Tak apalah, tunggu sahajalah penjelasan daripada mereka nanti. Mary nak tengok drama ini di aplikasi Tonton malam ni.