Yakin yang dia sudah bersedia untuk menuju ke fasa berbeza dengan Amirul Hafiz, 26, kongsi Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce,28, bukan soal cepat atau lambat yang patut dipertikai.

Dia melihat perkahwinan itu bakal membawa sinar yang berbeza bukan sahaja untuk dirinya, malah kerjaya juga.

SHAH ALAM, 15 Mei 2019-- Ain Edruce pada rakaman JKK Raya di Plaza

“Bukan soal tergesa-gesa memandangkan ini adalah keputusan keluarga selain saya rasa ini adalah waktu yang sesuai untuk berkahwin,” katanya .

Ain mengakui ada perasaan berbeza yang dirasainya kini apabila mengetahui ini adalah tahun terakhir dia menyambut Aidilfitri sebagai orang bujang.

“Perasaan sekarang bercampur. Ada sedih tapi dalam masa sama saya yakin ini adalah waktu sesuai untuk saya berumah tangga. Sebenarnya dalam kalangan adik beradik, usia saya ini agak lewat sebenarnya untuk memulakan keluarga.

“Jadi pada umur sekarang, saya sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai seorang isteri,” katanya jujur.

Tidak mahu meletakkan tanggungjawab sebagai isteri sebagai satu pilihan, dalam tempoh ini dia sudah bersedia untuk memperlahankan karier seninya jika sudah mendirikan rumah tangga.

Jelasnya, sebagai seorang wanita yang matang dia yakin ada pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Bakal suami juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat sebab dia sendiri memahami kerjaya saya dalam bidang ini,” kongsinya lagi.

Malah Ain yakin penerimaan peminat dengan status berbeza juga tidak menjadi satu perkara yang merisaukan.

“Saya pegang kepada kata-kata rezeki selepas berkahwin itu lebih banyak dan bertambah. Sebagai anak seni saya tidak akan meninggalkan bidang ini selepas berkahwin,” katanya lagi.

Mengambil masa yang agak lama untuk menempa nama, bagi Ain itu bukan sesuatu yang perlu dimalukan. Bermula tanpa bantuan mereka yang pakar dalam bidang ini, apa yang dimilikinya kini membuatkan dia berpuas hati.

“Memang bila berada dalam kalangan rakan-rakan artis yang lain ada perbezaan usia. Jadi saya tahu nama agak lewat dikenali. Tetapi saya tidak ralat memandangkan apa yang saya miliki ini hasil kerja keras sendiri.

“Saya tidak mempunyai pengurus memandangkan saya lebih senang menguruskan aktiviti seni sendiri. Jadi bila sampai tahap ini saya rasa puas,” tambahnya lagi.