Ada juga yang mendakwa dia sengaja mereka-reka cerita untuk mendapatkan publisiti murahan supaya nama kekal relevan. Bagaimanapun semua telahan itu disangkal pelakon drama Anak Mat Salleh Tapi Melayu ini.

Bersama Pancaindera, Diana menerangkan permasalahan yang menimpa itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kesihatan mental.

 

Ramai tak puas hati dengan Diana seolah-olah menunjuk-nunjuk masa sakit. Bangga ke ada penyakit sampai nak buat siaran langsung dalam Instagram?

Diana: Niatnya hanya satu. Nak mewujudkan kesedaran penyakit kesihatan mental kepada semua. Penyakit ini sukar untuk dikesan tak seperti penyakit jantung. Doktor pun tak boleh nak jelaskan penyakit itu. Keresahan melampau ini berpunca daripada psikologi dan gaya hidup kita sendiri. Untuk buktikan, saya ambil keputusan berkongsi perjalanan simptom keresahan melampau ini biar semua orang tahu penyakit itu macam mana.

Niatnya baik, nak mengajar orang tentang penyakit, begitu?

Betul sebab saya sendiri tak menyangka mengalami keresahan melampau selama ini. Saya baru saja tahu. Dua tahun lalu, saya berdepan dengan keadaan yang sama. Bila jumpa doktor, semua okay. Paling kuat pun mereka bagi preskripsi. Berkesan sekejap tapi ubat itu tak boleh guna masa serangan kedua minggu lalu. Saya berpeluh teruk, badan panas, jantung berdegup kencang. Pergi hospital, doktor suruh balik. Dua hari kemudian, saya pergi ke hospital lain untuk membuat pemeriksaan selepas keadaan yang sama berulang lagi. Masa itu baharulah saya tahu ini semua adalah simptom keresahan melampau.

Selalunya artis menyembunyikan penyakit mereka tapi kenapa tidak Diana?

Saya tak malu ada keresahan melampau. Saya juga mahu mengajak orang ramai agar tidak perlu malu tampil mengaku ada masalah kesihatan mental. Perkara ini bukan satu isu yang besar dan semua orang biasa akan mengalaminya. Cuma selama ini kita tak tahu, adakah benar-benar simptom yang menjadi punca kepada keresahan melampau itu. Jadi kena pastikan apa punca permasalahan. Adakah kerana gaya hidup, pemakanan dan tidur yang tidak menentu, semua itu hanya diketahui oleh individu tersebut.

Kenapa Diana terbuka dalam hal ini?

Percaya atau tidak, saya terima banyak respons daripada ramai artis yang berkongsi pernah mengalami kejadian hampir serupa. Ada juga yang pernah buat pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas berdepan dengan simptom seperti serangan asma, jantung yang berdegup kencang hingga sukar untuk bernafas. Jadi perkongsian terbuka dalam laman sosial itu memberi banyak manfaat kepada saya untuk mendapatkan penjelasan lebih tepat tentang keresahan melampau. Paling ditakuti, keresahan melampau membawa kepada isu kemurungan dan bunuh diri.

Dalam hal ini, apa simptom Diana sebelum terkena keresahan melampau?

Saya tak cukup rehat, asyik tidur lewat dan langsung tidak menjaga pemakanan. Minum kopi bergelas-gelas hingga berangin satu badan. Kalau kita tak jaga semua ini dalam masa berbulan-bulan, maka keresahan melampau itu akan datang. Sekali ‘diserang’ sakitnya macam nak mati. Mata ni dah macam nampak malaikat sakaratulmaut menunggu nak cabut nyawa.

Adakah anda hanya mengalami keresahan melampau atau ada isu kesihatan mental lain?

Tidak. Hanya ini saja.

Dengar cerita Diana pernah berdepan dengan tekanan melampau masa kecil, benarkah?

Betul, itu terjadi kepada ibu (Norsiah Ramli) sewaktu berusia 12 tahun. Saya nampak sendiri perubahan ibu daripada seorang wanita penyayang kepada ‘raksasa’. Masa itu ibu seorang yang sangat cepat marah. Rupa-rupanya kemarahan tersebut berpunca daripada penyakit kanser yang sedang ditanggung waktu itu. Dia menyembunyikan penyakit itu daripada saya sehingga saya berusia 20 tahun. Tapi sekarang dia dah bebas kanser.

Pernah tak tertekan dengan apa yang terjadi kepada nasib suami, Farid Kamil sebelum ini?

Sikit itu adalah. Tapi tidak terlalu melampau sebab tak mahu keadaan itu akan menambah teruk.

Tetapi, orang tetap kata keresahan melampau tu berpunca daripada suami, komen?

Mana ada. Dia tak ada kena mengena dalam hal ini. Cuma ketika situasi ini terjadi, saya memang sedang sibuk menubuhkan syarikat baharu dan membantu suami untuk filem terbarunya, Rempit 2 selain menguruskan anak-anak.