Lebih-lebih menjelang waktu berbuka, dia dan lima adik beradiknya sentiasa teruja kerana tidak sabar untuk menikmati beraneka juadah kegemaran masing-masing yang dimasak oleh ibu mereka.

Namun, kini yang tinggal hanyalah kenangan kerana kegembiraan itu tidak lagi mereka rasai

 

semenjak pemergian ibunya, Datin Firdaus Abdul Kader pada 30 Mac 2015. Arwah meninggal dunia akibat kanser tulang tahap empat.

“Setiap kali bulan puasa terutama waktu berbuka memang meriah. Arwah ibu akan masak bermacam lauk pauk untuk kami adik beradik. Iyalah masing-masing ada lauk kegemaran, jadi itu yang membuatkan penuh juadah di atas meja.

“Waktu bersahur pun sama. Kalau kami beritahu nak makan emping jagung dengan susu, dia akan sediakan lebih dari satu jenis emping jagung.

“Tetapi semenjak dia tiada, sudah empat tahun tiada emping jagung atas meja. Kami memang merindui air tangannya,” kongsi aktor berusia 32 tahun ini.

Biarpun sudah reda dan menerima hakikat namun sebagai anak dia sentiasa tidak lupa menitipkan doa buat insan paling disayanginya itu.

“Ibu adalah kekuatan saya. Masa mula-mula dulu, rasa jiwa kosong. Itu yang saya bawa diri ke India, kononnya nak cari ketenangan.

“Ternyata ibu memang tiada pengganti. Namun saya reda dan sentiasa mendoakan agar dia tenang dan dicucuri rahmat,” tuturnya.

Pakai topeng ke bazar

Tidak hanya mengambil peluang meningkatkan amal ibadah, malah sepanjang sebulan ini, Johan memanfaatkan masanya berbuka di rumah bersama keluarga.

Kalau tahun lalu, kerap juga dia ke bazar untuk membeli manisan dan kuih muih tetapi tidak tahun ini. Pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini membuatkan dia terfikir mahu mengurangkan aktiviti tersebut.

“Selalunya kalau ke bazar, hanya nak beli kek batik sebab itu kegemaran saya. Tapi apabila balik, dua-dua tangan penuh dengan makanan.

“Bukan saya beli, tetapi peniaga di situ rata-ratanya suka memberi juadah yang mereka jual secara percuma kepada saya. Kalau tak ambil, nanti dianggap tolak rezeki pula.

“Kalau ambil, timbul rasa serba salah dan kasihan sebab mereka berniaga dan kita tidak tahu sama perniagaan hari itu untung atau rugi,” katanya.

Disebabkan itu, Johan berkata dia pernah terfikir mahu memakai topeng muka jika berkunjung ke bazar supaya kehadirannya tidak mudah disedari khalayak.

“Bukan sengaja mahu mengelak tetapi kalau pakai topeng muka tidaklah ramai yang perasan kehadiran saya di lokasi itu.

“Tidak sampai hati kalau nanti ada lagi abang dan kakak yang berniaga, nak beri makanan percuma. Saya sangat berterima kasih dan menghargai kemuliaan hati mereka,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Johan bakal muncul menerusi lakonan dalam telefilem Kecoh Malam Raya yang akan ditayangkan di saluran TV1.

Selain itu, dia juga menantikan dua filem yang dibintangi, Mat Kilau dan Banglo 99 yang dijangka tayangannya sekitar hujung tahun ini.