Menghadapi segala hitam putih dunia hiburan, kumpulan yang kini dianggotai oleh Abu Bakar Md. Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim ini sentiasa akur dan reda dengan pasaran muzik tempatan.

Tidak mementingkan kemasyhuran, niat mereka hanya satu iaitu mahu menyampaikan dakwah keagamaan dari sudut muzik agar ia mudah diserap oleh semua masyarakat.

“Sejak awal penubuhan Raihan, memang kami tekankan bahawa kami menyanyi bukan kerana populariti mahupun wang ringgit, tetapi kerana mahu berdakwah. Kalau nak ikutkan susah senang selama 23 tahun ini, memang akan rasa putus asa, tetapi kami kekal bertahan sebab niat asal dengan izin Allah.

“Kami melihat muzik antara medium yang turut memberi kesan kepada masyarakat kerana muzik juga adalah ciptaan Allah,” jelas Che Amran.

Menjadi sebuah jenama besar yang tiada bandingnya biarpun wujud pelbagai kumpulan nasyid baharu, namun nama Raihan tetap menjadi perintis kepada irama ini.

Muncul kembali selepas 10 tahun agak diam, lagu Sesungguhnya 2019 yang dinyanyikan semula bersama penyanyi popular, Alif Satar bagaikan sebuah magis yang mengangkat semula nama Raihan di tangga tertinggi.

“Alhamdulillah, tidak sangka lagu ini diterima semula dan tiba-tiba nama kami kembali menjadi sebutan. Ia merupakan gandingan yang sempurna dan tepat pada masanya kerana ia keluar pada awal Ramadan.

“Kami juga berterima kasih kepada Alif kerana dia yang mengeluarkan idea ini. Ia bagai hadiah kepada peminat yang merindui kami,” katanya.

Selesa bergandingan bertiga, jelas Che Amran, buat masa ini mereka akan kekal membawa nama Raihan dengan tiga ahli sahaja.

“Keluar masuk ahli itu perkara biasa, seperti mana orang yang bekerja di pejabat.

“Pasti ada yang berhenti atas sebab-sebab tertentu sama ada mendapat tawaran yang lebih baik atau mahu mencari sesuatu yang lebih bagus.

“Setakat ini kami selesa bertiga, pada masa hadapan jika ada keperluan kami akan fikirkan,” jelas Che Amran.