Secara sejarahnya, Republik Sosialis Vietnam menjejaki perjalanan politik dan pembinaan negara bangsa yang penuh berliku. Daripada menjadi taklukan Kemaharajaan China (dari 111 SM hingga 939 M), dijajah Perancis pada pertengahan kurun ke-19, pendudukan Jepun hinggalah ke pembahagian Vietnam (Vietnam Utara Komunis, disokong Rusia dan Vietnam Selatan, disokong Amerika Syarikat (AS)). Ini telah membawa kepada Perang Vietnam sehinggalah AS berundur dan menyaksikan Vietnam disatukan di bawah pemerintahan komunis. Reformasi terhadap beberapa dekad lalu dan kempen pemodenan dengan dasar ekonomi liberal yang dikenali sebagai doi moi memperlihatkan pembangunan sosioekonomi, justeru membuka Vietnam kepada dunia luar.

Sebagai sebuah negara komunis, produksi filem di Vietnam dikawal selia dengan begitu ketat. Para pembikin filem ‘rasmi’ bekerja dengan pihak pemerintah (menghasilkan filem-filem mereka dengan studio yang ditadbir pemerintah) selain perlu menghantar skrip dan filem mereka untuk dinilai dan ditapis. Disebabkan lama bergelut dengan perang sepanjang kurun ke-20, perkembangan industri filem Vietnam tidak menentu dan produksi filem sering dikaitkan dengan propaganda. Filem On the Same River (Nguyen Hong Nghi/Pham Ky Nam, 1959) dianggap sebagai filem cereka Vietnam pertama (dengan tidak mengambil kira yang dihasilkan Perancis dan Jepun ketika era pendudukan). Ia mengkritik imperialisme Amerika ketika Geneva Accords menerusi hubungan sepasang kekasih yang dipisahkan sungai antara Vietnam Utara dengan Selatan.

Dengan peraturan dan kawalan yang ketat serta tanpa kecanggihan peralatan, para pembikin filem Vietnam terpaksa memanfaatkan apa sahaja yang ada dengan menyampaikan cerita mereka secara ekonomikal dan kadang kalanya menyalurkan protes atau kritikan secara halus tanpa disedari penapisan filem. Sutradara disegani, Dang Nhat Minh sering mengutarakan perubahan yang berlaku terhadap masyarakat Vietnam daripada budaya tradisional kepada ekonomi pasaran yang sedang berkembang, dari berdekad peperangan ke detik-detik keamanan. Dang dengan teliti merakamkan perubahan sosial yang mengambil tempat di Vietnam. Ini dapat dilihat dalam filemnya seperti When the Tenth Month Comes (1984) tentang seorang janda mangsa perang yang terpaksa menjaga bapa mentuanya yang sakit dan Nostalgia for the Countryside (1995), kisah tentang sebuah keluarga miskin menyesuaikan keadaan kepada pemodenan.

Ada filem yang berjaya menjelajah beberapa festival filem termasuklah filem-filem Dang, Pham Nhue Giang (contohnya, Deserted Valley), Vuong Duc (Lost and Found) dan beberapa lagi pengarah berbakat termasuklah pengarah diaspora yang menetap di luar negara (seperti Tran Anh Hung, yang disebutkan awal tadi). Filem Tran yang agak nostalgik lagi sensual, The Scent of Green Papaya (1993) menjelmakan Vietnam era 1950-an menerusi kisahan seorang pembantu rumah (dari zaman kanak-kanak hingga remaja) yang bekerja dengan sebuah keluarga yang tidak bahagia. Kemudian Tran mengarahkan Cyclo (1995) tentang seorang pemandu teksi-basikal di bandar raya Ho Chi Minh yang terjebak dalam kancah jenayah. Selain itu, produksi bersama Vietnam-AS, Buffalo Boy (Nguyen Vo Minh, 2004) mengambil tempat di Delta Mekong ketika era 1930-an yang sarat dengan tradisi budaya kedesaan setempat. Manakala Bride of Silence (Doan Minh Phuong/Doan Thanh Nghia, 2004) membawa suara feminis berkisar mengenai kisah gadis miskin yang membisu dan enggan mendedahkan lelaki menghamilkannya.

Selepas milenium baharu, konsep sinema sebagai propaganda telah dicabar oleh generasi pembikin filem baharu yang melihat filem sebagai satu bentuk hiburan massa yang popular. Mereka telah menganut dan merujuk etos sinema Hollywood yang menjadikan hiburan sebagai prinsip utama dan cuba mengubah keadaan sinema Vietnam termasuk aspek estetiknya. Antara masalah yang mengekang mereka untuk berkembang dengan lebih jauh adalah kekurangan para tenaga kerja terlatih dan profesional.

Tiga buah filem yang mendapat sambutan luar biasa adalah Bar Girls (2003, Le Hoang), Two Legged Girls (2004, Vu Ngoc Dang) dan Heaven’s Net (2003, Phi Tien Son) yang menampilkan pelbagai subjek dari kehidupan seksual ke korupsi politik. Bar Girls umpamanya telah memecah rekod ‘pecah panggung’ dalam sejarah sinema Vietnam disebabkan percubaan ‘menongkah arus’ dengan tidak menawarkan kandungan cerita yang didaktik seperti dipaparkan filem-filem realisme sosialis yang dibiayai pemerintah. Bar Girls memaparkan suka duka sekumpulan gadis yang muda lagi jelita bekerja di kelab malam di bandar raya Ho Chi Minh dengan impian untuk mengubah keadaan hidup namun terjerumus ke lembah pelacuran, ketagihan dadah dan jangkitan penyakit seperti AIDS.

Daripada Journey from the Fall (2007, Ham Tran) ke Clash (2010, Le Thanh Son), sinema Vietnam era milenium turut menyaksikan gabungan pembikin filem tempatan dan diaspora (yang kembali ke tanah air menghasilkan filem). Antara karya terkini: Father and Son (2017, Luong Dinh Dung) tentang seorang nelayan buta berkembara ke bandar bersama anaknya yang sakit bagi mencari rawatan; The Way Station (2018, Hong Anh) mengambil tempat di pelbagai ruang bangunan lama sebuah restoran yang dihuni pemilik, keluarga dan pekerjanya turut memperkatakan tentang penindasan dan pemberdayaan wanita dan Song Lang (2018, Leon Le) menggunakan latar era 1980-an Saigon yang disifatkan sebagai homaj kepada cai luong, seni pementasan tradisional Vietnam. Dengan filem-filem ini, pengarah generasi baharu tersebut terus mengutarakan persoalan berkaitan hubungan antara masa kini dengan masa lalu Vietnam.