Filem arahan Zahir Omar dan terbitan produksi Planet Films Sdn. Bhd. ini memaparkan jenayah sekumpulan pemandu teksi yang melakukan jenayah dengan mengugut penumpang yang diambil dari lapangan terbang.

Naskhah yang menggunakan 70 peratus bahasa Mandarin dan selebihnya bahasa Melayu itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sunny Pang, Bront Palarae,Fabian Loo, Eric Chen, Jack Tan dan Joyce Harn.

Menurut Bront, dia menerima tawaran membintangi filem tersebut kerana jalan tertarik dengan jalan cerita karya kali ini yang dinilai segar dan dekat dengan masyarakat.

Selain tidak ada sebab untuk dia menolak berlakon di bawah arahan Zahir memandangkan dia sudah lama mahu bekerja dengan pengarah tersebut.

“Filem ini menempuh cabaran tersendiri dalam tempoh empat tahun sebelum penggambaran dimulakan. Saya difahamkan kerana beberapa faktor termasuklah kewangan dan penulis produksi filem ini meninggal dunia.

“Tetapi walaupun perlu menunggu lama untuk memulakan penggambaran, saya dan Sunny tidak berubah fikiran dan masih berminat untuk menjayakan naskhah ini.

“Saya memang ingin bekerjasama dengannya setelah menonton karya filem pendek Zahir iaitu K-Hole yang memenangi anugerah BMW Shorties pada tahun 2007,” jelasnya.

Membawakan watak Inspektor Kamal, Bront begitu tertarik pada jalan cerita dan topik yang mahu diketengahkan pengarah. Ia juga menerapkan elemen tentang kekeluargaan, hubungan adik beradik.

BERTUTUR

BERKONGSI lanjut mengenai karakter, Bront membawakan watak seorang anggota polis yang menjengkelkan, garang, tegas serta kejam malah sanggup menyalahgunakan kuasa.

Walaupun 90 peratus bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi ada beberapa babak yang menuntutnya bertutur dalam bahasa Kantonis dan Mandarin.

“Karakter saya seorang polis yang boleh memahami bahasa Kantonis dan Mandarin. Jadi ada beberapa babak saya bertutur dalam dua bahasa tersebut.

“Sejujurnya agak susah dan mencabar kerana lenggok dua bahasa tersebut berbeza lebih-lebih lagi ini kali pertama saya bertutur dalam bahasa tersebut di dalam filem,” ujarnya.

Tambah Bront, sepanjang penggambaran dia tidak mempunyai masalah bekerja di bawah arahan Zahir meskipun pengarah tersebut masih baharu dalam dunia pengarahan filem.

“Semuanya berjalan lancar dan dia seorang pengarah yang bagus. Visinya sangat jelas dan citarasanya sangat bagus,” komennya.

Dia juga berbesar hati kerana sekali lagi brkerja dengan Sunny Pang. Sebelum ini dia dan pelakon aksi berasal dari Singapura itu pernah bergandingan dalam filem dalam filem Headshot.

“Dan tentunya peluang bekerja lagi bersama Sunny antara yang saya selalu nantikan. Saya Jadi apabila daripada awal saya mendapat tahu dia juga antara pelakon filem ini, membuatkan saya tidak sabar untuk masuk ke set penggambaran.

“Saya suka caranya sebagai seorang pelakon dan kami seronok sepanjang menjalani penggambaran.

Dalam filem ini babak-babak aksi yang kami persembahkan bukanlah aksi seperti melompat, memanjat atau melakukan stunt.

“Tetapi kami lebih kepada gaya perang mental dan gaya ala-ala filem James Bond,” katanya yang baru berbangga apabila filem One Two Jaga berjaya merangkul banyak anugerah sempena Festival Filem Malaysia ke-30 baru-baru ini.

PEMANDU TEKSI

SAMA seperti Bront, Sunny juga memberitahu dia tertarik pada jalan cerita filem berkenaan sejak kali pertama membaca skrip.

Bahkan sepanjang penggambaran dia selesa bekerja di bawah arahan Zahir dan kru produksi yang dianggapnya seperti sebuah keluarga.

“Bagi saya dapat menjadi sebahagian daripada filem ini adalah satu pengalaman menakjubkan.

Sebelum penggambaran saya dapat rasakan Zahir risau kalau saya menolak membintangi filem ini memandangkan sudah lama tertangguh.

“Jadi beberapa bulan sebelum masuk ke set, dia kerap menghubungi saya dan saya beritahunya jangan bimbang kerana saya memang memperuntukkan masa saya untuk memberi fokus kepada filem ini.

“Selalunya apabila dapat skrip, saya akan baca sepintas lalu dahulu sementara menanti masa sebenar untuk mulakan penggambaran,” jelasnya.

Mengakui apa yang dikisahkan dalam skrip lain daripada yang lain, itu sebenarnya memberikan nilai tambah kepadanya untuk memberikan yang terbaik kepada semua.

Tambah Sunny lagi, untuk menjiwai wataknya, dia banyak melihat abangnya yang merupakan seorang pemandu teksi di negaranya.

“Kebetulan abang saya merupakan seorang pemandu teksi di Singapura. Jadi saya banyak bertanya dan memerhatikan karakternya sebagai pemandu teksi,” ujarnya.