Dalam bukunya, Infante turut membezakan antara sinema Filipina yang secara relatifnya lebih fast-paced (bergerak laju) berbanding filem-filem Melayu, termasuk karya P. Ramlee, yang lebih perlahan dan santun. Sinema Melayu era studio (di Singapura) telah menyaksikan kemasukan beberapa pengarah dari India seperti B.S. Rajhans, L. Krishnan, B.N. Rao, Phani Majumdar, K.M. Basker dan beberapa lagi. Selain cuba untuk mempelbagai dan menyerlahkan pendekatan pengarahan, Shaw Brothers membawa masuk pula beberapa pengarah Filipina. Para pengarah Filipina ini berkarya di Singapura antara tahun 1955 hingga 1965.

BUNGA Tanjong.
BUNGA Tanjong.

Para pengarah Filipina ini telah membawakan kepelbagaian pengaruh yang bukan sahaja dari Filipina tetapi juga dari Amerika Syarikat (AS) sebenarnya. Kebanyakan mereka juga agak berorientasikan Hollywood kerana terlatih di AS.

Para pengarah India terkenal dengan stail persembahan, kaedah perfileman dan tradisi sinematik daripada sinema India, manakala para pengarah Filipina pula memperkenalkan teknik-teknik penggambaran dan pencahayaan yang mereka pelajari daripada para pengarah Amerika, justeru dapat mengurangkan masa penggambaran. Idea dan lakon layar mereka juga adalah bikinan semula filem-filem Hollywood, selain sarat dengan tema-tema kebaratan dan elemen genre. Pada tahun 1954, Shaw Brothers telah membawa masuk filem Filipina Elephant Girl, arahan Eddie Infante. Ditayangkan pada tahun 1955, filem ini kemudiannya dialih suara ke bahasa Melayu dan diberi judul Gadis Liar untuk pasaran tempatan (dengan menyasarkan khalayak filem Melayu). Antara pengarah Filipina terawal mengarahkan filem Melayu adalah T.C. Santos yang muncul dengan filem Taufan pada tahun 1957, disusuli Ramon A. Estella.

Estella menjadi pengarah Filipina yang paling banyak mengarah filem Melayu, yakni sejumlah 11 filem kesemuanya. Beliau pernah ke AS (selama lima tahun, 1951-1955) bekerja di sana dengan pasukan produksi dan pengarah Hollywood, selain turut pernah bekerja di Vietnam dan Itali. Estella dilamar Shaw bagi bersaing dengan pengarah-pengarah Cathay-Keris (seperti B.N. Rao yang terkenal dengan siri filem-filem Pontianak). Beliau juga dilihat sebagai pengarah yang versatil dengan pelbagai pendekatan dan genre, daripada melodrama, filem perang, seram, komedi, hinggalah ke fantasi. Tiga buah filem yang menaikkan nama beliau adalah Mata Hari (1958), Samseng (1959) dan Dupa Chendana (1964). Mata Hari, yang dihasilkan kerana kejayaan filem Sergeant Hassan (juga diarahkan pengarah Filipina, Lamberto Avellana), memfokuskan tentang seorang gadis yang mengepalai pasukan pejuang kemerdekaan ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Filem lain diarahkan Estella termasuk Kembali Saorang (1957), Anak Pontianak (1958), Saudagar Minyak Urat (1959), Melanchong ka-Tokyo (1964) dan Pusaka Pontianak (1965). Melanchong ka-Tokyo merupakan filem Melayu pertama yang pengambarannya dilakukan di Jepun, selain dihasilkan dalam warna-warni (Eastmancolor). Beliau turut mengarahkan tiga filem terbitan Maria Menado Productions: Bunga Tanjong (1963), Darah-Ku (1963) dan Pontianak Kembali (1963). Bunga Tanjong adalah karya Estella yang paling digemari penulis. Ia sebuah melodrama gelap tentang hubungan berantakan antara seorang ibu yang haloba, materialistik dengan anak gadis jelitanya yang menjadi mangsa kebatilan. Kemahiran pengarahan dan sentuhan artistiknya menyerlah kerana Estella juga adalah seorang pelukis.

Selain itu, sutradara disegani dari Filipina Lamberto V. Avellana, yang diberi peluang mengarahkan Sergeant Hassan pernah muncul dengan filem sulungnya di Filipina, Sakay (1939), juga sebuah filem perang. Namun dilaporkan yang Avellana tidak menyudahkan kerja pengarahannya untuk Sergeant Hassan justeru terpaksa diambil alih oleh P. Ramlee. Ini juga kerana beliau, antara lain, enggan berkompromi untuk memasukkan babak-babak nyanyian yang menjadi kelaziman sinema Melayu ketika itu. Sememangnya Avellana agak dipengaruhi dengan pendekatan dan tradisi perfileman Itali neo-realisme.

Kecenderungan Avellana terhadap neo-realisme dapat dikesan dalam beberapa filem Filipina beliau, antaranya dua filem yang dianggap adikaryanya, Anak Dalita (1956) dan Badjao: The Sea Gypsies (1957). Anak Dalita dianggap sebagai filem neo-realisme terawal di Filipina yang memerihalkan kemiskinan bandaran pasca-perang. Manakala Badjao pula yang memfokuskan representasi masyarakat Bajau Laut di selatan Filipina telah diedarkan oleh Cathay-Keris (dan dialih suara dengan judul Badjau Anak Laut). Avellana sememangnya seorang sutradara bertaraf transnasional (merentas negara) kerana turut pernah mengarahkan filem bagi syarikat perfileman asing seperti Destination Vietnam (1969) yang difilemkan di Saigon, dan The Evil Within (1970), sebuah produksi bersama Filipina-India yang difilemkan di Bombay (Mumbai).

Seorang lagi pengarah Filipina adalah Rolf Bayer yang mengarahkan filem Azimat dengan mengemukakan bintang Filipina Pancho Magalona sebagai watak utama (bersama Daeng Idris, Jins Shamsudin, Salleh Kamil, dan Siti Tanjung Perak). Azimat merupakan sebuah thriller yang melayarkan sisi Singapura yang berbeza dengan filem Melayu sebelumnya dengan mood dan sentuhan, daripada muzik hingga ke sinematografi, seperti sebuah filem Hollywood. Tidak dinafikan yang kehadiran para pengarah Filipina ini (sehingga tahun 1965) sedikit sebanyak telah menyumbang kepada seni dan amalan perfileman yang bersifat kosmopolitan bagi sinema Melayu di Singapura.

Sinema Malaysia pasca era studio menyaksikan kolaborasi antara Filipina dengan Malaysia, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Antaranya adalah filem aksi pengembaraan Malaysia, Five (John Aristorenas, 1976), sebuah produksi usahasama syarikat perfileman tempatan Sari Artists dan syarikat Filipina, Juver Productions. Pada tahun 1987 pula, sebuah filem usaha sama Malaysia-Filipina dihasilkan, Si Pikoy Goes to Malaysia (Gila-Gila Si Pikoy Menuju ke Malaysia) yang diarahkan secara bersama oleh Celso Ad Castillo dan Hussein Abu Hassan.