Memegang watak Juita dalam drama bersiri Nur 2,  Azar atau nama sebenarnya  Siti Azar Ameerah Azmi, 28,  berharap lakonan beraninya itu membuka lembaran baharu dalam karya seninya. 

Menerusi Nur 2, watak Juita melakonkan adegan panas dengan menggoda Ustaz Adam menerusi permainan kamera. 

Lakonan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi penonton. Ada yang mengeji dan tidak bersikap positif kerana memahami  teknik penggambaran digunakan. 

 

Mahu terus melangkah dan mengambil sikap bagaikan ‘angin berlalu pergi’ Azar tidak kisah dilabel sebagai perempuan murahan, seksi dan suka menggoda. 

Ada juga yang mendakwa Azar sanggup menerima watak itu kerana menganggapnya sebagai jalan pintas untuk meraih populariti. 

Mahu atau tidak, hakikatnya watak ini memang memberi impak yang positif kepada kerjaya serta popularitinya. 

“Watak pelacur dalam Nur 2 adalah antara karakter yang sukar untuk saya bawakan. Paling susah, cara pergerakan tubuh serta tangan, cara bercakap yang menggoda dan meleret-leret, senyuman dan segalanya perlu digayakan sebagai seorang pelacur. 

“Babak yang paling mencabar sudah tentu adegan intim dalam kereta. Saya memerlukan masa berjam-jam berbincang dengan Syafiq Kyle dan pengarah  bagaimana mahu membuat masyarakat memahami situasi yang berlaku dengan menggunakan teknik permainan kamera. 
“Apabila sebut sahaja pelacur, masyarakat sudah boleh membayangkan karakter menggoda dan pakaian yang digayakan. Apatah lagi ada adegan babak ‘panas’ bersama ustaz. 

“Selalunya isu yang menyebabkan orang kecam membolehkan populariti seseorang pelakon itu naik mendadak. 

“Pelakon yang dikecam namanya mudah melekat dalam fikiran masyarakat. Jadi, saya tidak nafikan watak Juita banyak membantu saya untuk lebih dikenali,” tutur Azar tenang.

Beri kesan kepada penonton

Malah kata Azar, dia tidak terkejut dengan kecaman yang diberikan kerana melihat kepada watak Juita  yang berpakaian seksi dan mengghairahkan, sesuai dengan karakter yang dibawakan.  

“Watak antagonis memudahkan peminat mengingati seseorang pelakon. Namun, ia bergantung juga kepada sejauh mana ‘persembahan’ pelakon tersebut dalam drama. 

“Apa pun saya tidak boleh sentiasa berharap kepada cara publisiti sebegini. Asyik harapkan orang kecam saja, sampai bila kan? Dalam masa yang sama saya sendiri perlu terus memperbaiki kelemahan yang ada untuk jadi yang terbaik,” kata Azar yang tidak kisah dilabel pelakon menggoda selepas wataknya sebagai pelacur diperkatakan.  

“Dari sudut positif, saya gembira kerana ia memberi kesan kepada masyarakat yang menonton. Lakonan saya terkesan di hati mereka sehingga terbawa-bawa dengan emosi. Cuma, mereka perlu ingat watak pelacur dan penggoda ini hanya dalam drama, jangan fikir di luar lokasi pun saya seorang yang sebegitu.

“Sejujurnya saya sendiri tidak kisah jika selepas ini terus diberikan watak pelacur atau penggoda. Itu rezeki dan saya tidak akan tolak. Saya pun tiada masalah jika dicop ‘muka’ penggoda atau sebagainya. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang orang ingat tentang saya,” kata Azar yang menjadikan pelakon hebat Sofea Jane sebagai rujukan dalam lakonannya. 

Rindu arwah ibu dan ayah

Anak ketiga daripada lima beradik ini meluahkan rasa rindunya terhadap arwah ibu dan bapa yang menjadi tulang belakang kepada kerjayanya selama ini.
Ibunya, Arbaayah Othman, meninggal dunia tiga tahun lepas disebabkan kanser serviks pada usia 54 tahun. Bapanya, Azmi Mohd. Yusof pula meninggal beberapa bulan kemudian disebabkan kanser usus ketika berusia 56 tahun.  
 “Kedua-dua arwah ibu dan ayah adalah inspirasi saya untuk tidak berputus asa dalam hidup dan kerjaya. Antara nasihat mereka yang masih saya ingat sehingga sekarang adalah dalam apa pun yang dilakukan kenalah ikhlas, tahu bezakan mana yang betul atau salah dan paling penting pandai jaga diri. 

TERKILAN

“Saya masih ingat ketika masih belajar di tingkatan tiga dan menetap di Seremban, arwah ibu pernah menemani saya ke lokasi penggambaran. Saya jadi pelakon tambahan. 
“Walaupun mendapat bayaran hanya RM70, saya rasa gembira ditemani ibu yang sentiasa ada untuk saya. Perasaan syukur itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Sebak bila teringatkan mereka. Dalam hati saya ada berasa terkilan kerana tidak sempat nak membalas jasa mereka,” kata Azar dengan nada sayu. 
Antara drama lakonan Azar sebelum ini adalah Suri Hati Mr. Pilot, Fatamorgana, Mr. Boss Miss Stalker, Tiada Arah Jodoh Kita, Isteri Untuk Diiktiraf dan banyak lagi. 
 

 

Dipuji Nelydia Senrose

Sebelum Azar menerima watak sebagai Juita, pelakon Nelydia Senrose terlebih dahulu ditawarkan watak tersebut. Namun, atas alasan tertentu Nelydia tidak boleh memberikan komitmen. Maka sudah menjadi rezeki Azar untuk membawa watak tersebut.

Nelydia sendiri mengaku Azar akan meraih populariti  mendadak apabila membawa watak Juita.  

“Sebelum menolak tawaran tersebut, saya sudah membaca skrip yang diberikan. Apa yang saya lihat, watak Juita sangat kuat serta menyerlah dan boleh menenggelamkan watak Nur jika ia betul-betul digarap. 

“Saya dapat rasakan Azar yang membawakan watak ini bakal meraih populariti hebat kerana watak ini bukan calang-calang. Ia memang sukar dibawa dan sangat mencabar kewibawaan seorang pelakon,” kata Nelydia kepada Hits satu ketika dahulu. 

Membalas kenyataan tersebut, Azar berasa bimbang kerana risau apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

“Sejujurnya, pujian tersebut membuatkan saya berasa bimbang sama ada lakonan saya menjadi atau tidak. Saya sudah melakukan yang terbaik, terserah kepada penonton untuk menilainya.

Reaksi positif atau negatif, saya terima untuk memperbaiki kelemahan. 

“Bercakap mengenai populariti, saya yakin mana-mana artis pun memerlukan tuah yang mengiringi kerjayanya. Kalau tuah itu sudah sampai,  mungkin Juita membolehkan saya meraih lebih populariti,” katanya. 

Kekasih memahami

Walaupun Azar dikecam kerana adegan ‘panas’ sebagai pelacur, beruntungnya Azar Azmi mempunyai kekasih yang memahami dan sentiasa menyokong. 

“Selama dua tahun kami bercinta, dia memang selalu menyokong apa sahaja yang saya lakukan demi perkembangan  kerjaya sebagai pelakon. Dia faham dan percaya yang saya tahu tanggungjawab sebagai pelakon. Jadi tidak timbul soal cemburu.

“Sebagai pasangan kekasih, saling menyokong itu sangat penting. Baharulah hubungan itu akan berkembang dengan baik,” jelas Azar yang belum mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.