Antara lain, kerana representasi masyarakat dan budaya Malaysia yang lebih inklusif. Penulis lebih tertarik kepada pelbagai persoalan dan bentuk nostalgia yang mendasari hampir kesemua filem Yasmin.

Filem beliau yang paling nostalgik  dan satu-satunya yang penulis gemari adalah Mukhsin (2006). Ia karya yang simple dan sederhana tetapi menyentuh. Juga dapat dikesan pengaruh dan semangat karya beberapa auteur sinema dunia daripada Yasujiro Ozu kepada Hou Hsiao-hsien, selain filem-filem Iran tentang dunia kanak-kanak.

Secara umumnya, Mukhsin turut dibaluti ‘rasa’ nostalgik seolah-olah kisahnya mengambil tempat ketika era 1970-an dan 1980-an. Apatah lagi filem ini berfungsi sebagai prekuel kepada dua filem Yasmin sebelum itu, Sepet (2004) dan Gubra (2006), yang akhirnya melengkapkan sebuah trilogi.

Malah, Mukhsin turut dilabel sebagai ‘kisah cinta pertama’, yakni, cinta pertama si protagonis Orked dalam menjejaki perjalanan emosi dan spiritualnya. 
 

Aspek nostalgia yang terpancar dalam Mukhsin adalah menerusi mise-en-scene (latar set dan prop), terutamanya milieu dan landskap kampung yang permai, damai. Seolah-olah menyaksikan pengarah meraikan masa lalu yang masih belum dicemari kapitalisme konsumer global seperti hari ini. Hal ini sejajar dengan keperihalan individu kanak-kanak yang pure, innocent dan naif berada di ambang keremajaan. Filem ini memotretkan kisahan realiti sehari-hari masyarakat kampung, kanak-kanak mengaji (membaca Al-Quran); wanita di dapur menyediakan ais krim Malaysia sambil bergosip; dan kanak-kanak bersosial seperti berbasikal, memanjat pokok, bermain galah panjang dan ‘kahwin-kahwin’. Selain itu, elemen nostalgia terserlah daripada objek, item dan memorabilia tertentu, daripada kereta Volkswagen lama, vespa antik hinggalah ke pemain piring hitam (yang mengumandangkan lagu Perancis klasik, Ne Me Quitte Pas.

Selain aktiviti seharian, rujukan nostalgik Mukhsin terserlah dengan sentuhan dan inspirasi daripada filem-filem Melayu era studio, terutamanya berkaitan layaran landskap (kampung) dan penggunaan muzik. Contohnya, sekuen muzikal yang membuka filem ini dengan persembahan lagu Keroncong Hujan (memperlihatkan watak Yam menyanyi, bapa Orked dan rakan-rakannya bermain instrumen), mengingatkan penonton kepada melodrama P. Ramlee, Antara Dua Darjat (1960), yang turut menampilkan babak nyanyian keroncong ketika hujan sedang mencurah turun pada awal filem. Babak muzikal Mukhsin ini dapat dibaca sebagai homaj kepada Antara Dua Darjat kerana melakarkan paralelisme, kedua-dua persembahan lagu keroncong mengambil tempat ketika hujan sewaktu kedua-dua protagonisnya (berbeza kelas sosial) bertemu buat pertama kali.

Yasmin juga memanfaatkan kelaziman melodrama sinema Melayu, contohnya watak orang kampung bergosip. Ini termasuk tuduhan terhadap ibu saudara Mukhsin sebagai ‘perempuan ronggeng’ menandakan wanita yang menyimpang (secara moralnya). Isu-isu sebegini sering mendasari melodrama Melayu era studio, yang menonjolkan konflik dan tekanan antara kehendak individu (subjektiviti) dengan nilai kolektivis (tuntutan sosial), antara tradisi dan kemodenan. Dalam konteks ini, Yasmin tidak sepenuhnya meromantisme kampung (sebagai landskap yang ditandai kesucian dan kenaifan), tetapi turut mempamerkan kampung sebagai ruang yang sarat dengan kontradiksi dan paradoks bagi perwatakan serta psikik Melayu.

Dalam Mukhsin, Yasmin turut menyelitkan rujukan nostalgik secara langsung terhadap peristiwa, masa dan tempat yang konkrit, kesemuanya membantu memacu naratif berorientasikan romantis dan melodrama. Contohnya, dalam satu babak, Orked dan Mukhsin bersiar-siar di sekitar kampung dan berhenti di sebuah laman pelancong. Orked membaca inskripsi (dalam bahasa Inggeris) tentang mitos Keramat Anak Dara (di Kuala Selangor). Seorang anak dara yang hilang ketika hari perkahwinannya (yang diatur) menjelma dalam mimpi, memaklumkan kepada ibu bapanya untuk tidak menjejakinya lagi kerana telah menemui kedamaian. Justeru ibu bapanya dikatakan telah mendirikan makam di atas sebuah pohon yang pernah si dara tadi menggantungkan busananya. Orked dan Mukhsin cuba untuk meneka pokok yang menjadi lokasi sebenar si dara tadi menggantungkan busananya. Babak ini berhubung dengan sekuen pada penghujung filem bila Orked mendapati Mukhsin yang telah meninggalkan kampung tersebut menggantungkan bajunya di atas sebatang pokok.

Babak Orked dan Mukhsin bermain layang-layang di tengah sawah padi yang menghijau turut melibatkan kehadiran watak Orked (dewasa) dan Jason (dari filem Sepet) sebagai pasangan suami isteri dengan rumah mereka di tengah-tengah sawah. Penampilan pasangan ini turut berfungsi sebagai satu bentuk nostalgia yang mengingatkan penonton tentang Mukhsin sebagai prekuel kepada Sepet. Ia satu kecenderungan untuk meromantisme sesuatu yang berlaku pada masa lalu, tetapi pada masa yang sama membayangkan tentang peluang kedua atau harapan bagi kegagalan hubungan romantis. Seperti dalam montaj pada penghujung filem bila suara latar Orked (dewasa) berkomentar tentang penemuan cinta seterusnya dalam hidupnya selepas itu, kesemuanya dimanifestasikan sebagai alusi terhadap memori, ruang dan masa.

Kedua-dua pelakon (watak Orked-Jason tadi) dapat dianggap sebagai ghosts of the future. Sebagai pasangan suami isteri yang kelihatan gembira, mereka seolah-olah berfungsi sebagai substitute kepada watak Orked dan Jason (yang sebenar) dalam Sepet, yang gagal disatukan (secara romantis) kerana sesuatu yang tragis berlaku. Malah, dalam Gubra, selepas berakhirnya kredit penamat, Yasmin memunculkan Orked dan Jason sebagai pasangan suami isteri yang bahagia. Imej-imej kebersamaan (antara Orked-Mukhsin dan Orked-Jason) dalam Mukhsin tampil ambiguous dan anakronistik (dalam konteks jalur masa)-yakni, adakah kesemua mereka adalah sebahagian daripada fantasi, satu jelmaan terhadap sesuatu yang tidak pernah mengambil tempat sebenarnya?

Di sinilah (seperti juga pada penghujung filem Sepet dan Gubra), Mukhsin membawakan dimensi penting nostalgia. Ia bukan lagi emosi yang dihubungkan dengan masa lalu yang kronologikal, dialami secara konkrit tetapi lebih menjurus kepada a dreamed state of oneness, yakni satu impian terhadap kebersamaan, satu kondisi yang tidak dapat dicapai sepenuhnya tetapi terus didambakan. Seperti maksud bait-bait puisi Jalaluddin Rumi yang dipetik daripada suara latar Orked pada penghujung filem, penyatuan atau kebersamaan watak-watak Yasmin boleh dibaca sebagai merentas jalur ruang dan masa duniawiah.