Justeru, apabila Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Sheikh Fadzir pada 21 Ogos 2019 melaungkan,“ Utusan tidak akan ditutup, Utusan terus hidup…” itu bukan laungan biasa-biasa dalam dapatan lelaki-lelaki tersohor ini. Ia adalah laungan penuh dengan semangat, diiringi tanggungjawab yang sarat untuk terus memberikan khidmat kepada seluruh umat.

AWIE melahirkan rasa terhutang budi kepada jenama Utusan untuk
AWIE melahirkan rasa
terhutang budi kepada
jenama Utusan untuk
sepanjang kehidupannya
sebagai anak seni.

Ia bagaikan hadiah yang cukup bermakna dalam memaknakan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali ke-62, tanggal 31 Ogos yang akan datang.

Seperti kata Datuk DJ Dave, lima dekad kekal terhormat di bidang seni, Utusan banyak mencorakkan cara bekerja dan berfikir dirinya. Ibarat novel yang bercerita, mogul media ini menjadi tulang belakang kepada kejayaannya, Utusan ada dalam setiap perjalanan cerita penyanyi Ingin Bersua ini.

“Perjalanan karier saya dan nama-nama seperti David Arumugam, Ben Nathan, Andrew Goh, Francisca Peter misalnya, adalah ‘bukti hidup’ bahawa Utusan adalah sebuah jenama yang berlapang dada dalam soal menerima budaya bangsa lain, selain Melayu.

“Jadi, sudah sewajarnya institusi ini perlu terus diberi sokongan untuk kekal hidup dan dapat terus berkhidmat kepada bangsa Malaysia. Utusan perlu kekal dalam semangat menyampaikan perjuangan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sayangkan keamanan dan kedamaian,” kata Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (Ykat) ini kepada Pancaindera.

Benar, ketika ini institusi media berhadapan dengan seribu satu kegawatan. Masalah kuasa pembeli iklan yang berdentum-dentum merudum, jualan akhbar yang merosot teruk dan semakin kecil jumlah pembaca akhbar bercetak, ramai yang meramalkan Utusan juga bakal bungkus. Nasibnya akan sama seperti The Woshington Post dan The New York Times yang menutup operasi pada 2016.

Sabri Yunus
SABRI YUNUS 

Sebelum itu, The News of The World yang mula beroperasi pada 1843 menutup operasi pada 2011 diikuti The London Post juga pada 2011. Itu antara akhbar popular di luar negara yang sudah awal gulung tikar kerana tidak mampu bertahan dengan persaingan dunia digital yang menghimpit.

Justeru, seputar cerita yang berkisah bahawa Utusan juga bakal ditutup semenjak beberapa purnama lalu dimainkan, rock star paling berpengaruh, Amy Search mengaku bagaimana luluh hatinya.

“Jika hari itu ditakdirkan berita berkuburnya akhbar Utusan Malaysia itu adalah benar, ia adalah kekecewaan yang sangat payah untuk diterima. Tidak dapat saya bayangkan itu terjadi kerana Utusan adalah simbol perjuangan kepada banyak orang, termasuk saya,” kata Amy.

Amy sedari awal menjadi artis, ditatang dengan penuh eksklusif oleh produk-produk terbitan Kumpulan Utusan. Antaranya, URTV yang merupakan majalah hiburan tertua dalam negara yang diterbitkan pada 1970. Tidak terkira pula betapa banyaknya artikel-artikel yang diterbitkan oleh wartawan di Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! mengenai perjalanan seninya,

 

Bagaimanapun, si pelantun Isabella ini memberitahu, bahawa untuk kekal relevan dalam pelbagai zaman, semua orang perlu berubah.

“Malah, saya sendiri dari semasa ke semasa mencari pendekatan untuk kekal diterima generasi masa kini yang sama sekali berbeza dengan zaman awal populariti saya sebagai penyanyi. Utusan juga perlu begitu,” katanya.

Pengarah berseni, Sabri Yunos pula melihat Utusan melangkaui hanya sebuah naskah akhbar.

“Akhbar ini adalah peribadi bangsa, atau seharusnya begitu. Dalam sejarah, perkembangan dan perjuangannya kita melihat tokoh-tokoh besar penulis, pemikir dan budayawan terlibat secara langsung dalam memartabatkan bahasa, budaya dan pemikiran bangsa.

“Utusan sesuai dengan namanya menjadi utusan daripada atau kepada rakyat, ertinya ‘utusan’ kepada semua. Seharusnya begitu walaupun siapa pemiliknya. Walaupun bukan pemerintah yang empunya, dia adalah milik bangsa dan negara. Suara mereka, adalah suara kita,” katanya.

Bagi anak Kelantan ini, barangkali benar Utusan juga harus selari dengan zaman, zaman media baharu.

AMY Search menganggap harinya tidak sempurna tanpa Utusan Malaysia
AMY Search menganggap
harinya tidak sempurna tanpa
Utusan Malaysia dan Kosmo! 

“Pada pandangan peribadi pada usia 80 tahunnya, adalah penting mengembalikan keyakinan pembaca akan peranan sebenar Utusan pada hari ini.

“Seketika kita sedar Utusan menjadi suara politik yang sangat ketara. Memulihkan pengisian itu lebih perlu selain daripada melihat untuk ke arah pendigitalan atau rekabentuknya. Apa pun penstrukturan semula harus ada walau pun secara berperingkat,” demikian katanya, memberi pendapat.

Meletakkan Datuk Awie sebagai simbolik di sebalik istilah ‘kekal relevan’ untuk pelbagai zaman, demikianlah juga Utusan perlu mencapai takhtanya.

Bagi Awie, hidup adalah perjuangan. Jatuh bangunnya sesebuah institusi berkait rapat dengan bagaimana ia memainkan peranan kepada masyarakat melewati beberapa zaman.

“Setelah lebih lapan dekad, Utusan dilihat telah berjaya mencapai objektifnya, menjadi kuasa dan pengaruh penting kepada agama, bangsa dan negara. Saya sentiasa mendoakan institusi ini untuk terus melebarkan sayap dan pengaruhnya sebagai sebuah institusi negara.

“Dengan berita bertahannya Utusan pada hari ini, saya berharap ia akan kembali mencapai detik-detik kegemilangan seperti suatu masa dahulu,” kata Awie yang pertama kali cerita pembabitan seninya dipotretkan melalui akhbar Utusan Malaysia pada 1985. Berita yang ditulis oleh Mama Juwie dengan tajuk : Wings Scorpion Malaysia itu menjadikan Awie dan anggota Wings popular sekelip mata.

“Sebab itu, saya mempunyai sebab yang cukup indah untuk meraikan kelangsungan hidupnya Utusan pada ketika ini,” kata Awie.

Aduhai Utusan suara keramat bangsa. Terus melangkah, untuk hari esok yang lebih cerah.

Dirgahayu Utusan!