Penuh lemah lembut tetapi kedengaran tegas dalam bicaranya, Yuna Yunita berjaya menarik perhatian peminat menerusi lagu-lagunya yang mempunyai ekspresi tersendiri.

Di Malaysia barangkali ada yang kurang mengenali penyanyi jelita dari negara seberang ini. Namun, dalam kalangan peminat di republik tersebut, Yura adalah artis papan atas yang sering menghasilkan karya-karya hebat.

SINGLE terbaharu merakamkan fasa terbaik dan terburuk dalam kehidupan Yura.
SINGLE terbaharu merakamkan fasa terbaik dan terburuk dalam kehidupan Yura.

Mengakui teruja memasuki ruang udara seni Malaysia, jelas Yura, dia sudah lama menyimpan impian mahu berjumpa dengan peminatnya di negara ini. Kini impian itu menjadi kenyataan apabila berkesempatan melakukan promosi album keduanya yang berjudul Merakit, sebelum menjalankan tugas sebagai artis pembuka panggung untuk konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung Sabtu lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Saya hadir ke Malaysia kali ini dengan misi untuk menyapa pendengaran khalayak negara ini bersama-sama buah tangan yang saya hasilkan di sana. Saya fikir sudah tiba masanya saya memanjangkan langkah dan menuju ke seberang negara secara rasmi.

“Apa yang membuatkan saya kuat untuk melakukan perkara ini adalah apabila melihat karya-karya milik saya begitu diminati oleh pendengar di Malaysia. Jumlah pendengar Malaysia menerusi pelantar digital hampir sama banyak dengan Indonesia, ia sungguh mengagumkan.

“Bukan itu sahaja, setiap hari saya menerima mesej daripada peminat Malaysia yang bertanyakan bila saya mahu ke negara ini kerana mereka sudah lama menantikan kehadiran saya. Ini menambah keyakinan saya untuk ke Malaysia,” jelas Yura.

Mula menulis lagu pada usia 15 tahun, Yura berjaya meraih anugerah Penyanyi Solo Wanita Terbaik di Anugerah Musik Indonesia untuk dua tahun berturut-turut bermula 2017.

Senang bergerak sendiri dalam menghasilkan karya-karyanya, jelas Yura, dia sudah terbiasa dengan konsep indie yang dipegang sejak awal pembabitannya dalam industri muzik.

“Dari 2014 saya melancarkan lagu-lagu secara ‘bebas’. Ini kerana saya sangat percaya diri serta karya-karya yang saya hasilkan.

“Pada album pertama, hampir 80 peratus lagu ditulis sendiri manakala album kedua pula dibantu oleh 
sahabat-sahabat terdekat.

“Saya punya semangat yang besar untuk bergerak sendiri. Malah, ketika ini semua sudah boleh berkarya semerdeka yang boleh menerusi pelbagai media, jadi usah fikir terlalu berat untuk bermuzik,” jelas Yura.

Merakit

Membawa album berjudul Merakit, duta jenama Head & Shoulders ini menjelaskan ia sebagai gambaran nyata dalam perjalanan kariernya yang telah melalui begitu banyak momen kehidupan.

“Merakit merakamkan fasa terbaik dan terburuk dalam kehidupan saya sebagai seorang penyanyi. Ia mencurahkan segala rasa dalam hati ini dan dijadikan rangkaian lagu dalam album. Setiap lagu mempunyai makna tersendiri.

“Saya pernah berada di tahap yang paling bawah, di mana emosi ketika itu sering menyalahkan diri dan menganggap saya langsung tidak bertuah.

“Namun ketika berada di sebuah majlis, di sebuah rumah orang kurang upaya (penglihatan) jiwa saya tersentak apabila melihat 
anak-anak di situ begitu bahagia menyanyikan 
lagu-lagu saya.

“Saya menjadi sebak dan ada seorang di antara mereka bertanya, mengapa saya menangis,” luah Yura yang menceritakan pengalamannya dalam mencari kematangan kerjaya ketika itu.

Sambung Yura, dia berfikir bagaimana mereka yang berada dalam keadaan tidak mampu melihat apa-apa itu begitu bahagia menyanyikan lagu-lagunya sedangkan dia masih merintih dan berasa kekurangan.

“Di saat itu saya rasa sangat berdosa kerana kurang bersyukur dan kemudian lahirlah single Merakit yang mana, ia dicipta untuk menggambarkan perasaan saya kepada mereka.

“Sewaktu merakam single ini juga, kami mengundang anak-anak kurang upaya ini untuk sama-sama berkoir dan hasilnya semua yang di dalam studio rakaman itu mengalirkan air mata,” jelas Yura.

Mengidolakan Siti Nurhaliza

Penyanyi bersuara lunak ini menganggap peluang yang diterimanya sebagai artis pembuka tirai konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang baru lalu umpama rezeki terpijak.

Menurutnya, bukan senang mahu berkongsi pentas dengan penyanyi nombor satu Malaysia, bahkan dia juga sangat mengidolakan Siti Nurhaliza sejak kecil lagi.

“Saya amat mengagumi Siti Nurhaliza kerana hingga saat ini beliau masih bertahan dalam industri nyanyian kerana bakatnya yang hebat, bukan kerana gosip-gosip sensasi.

“Apabila diberi peluang membuat persembahan di konsert beliau, tentulah saya berasa sangat teruja . Apatah lagi konsert ini berlangsung di Malaysia, jadi saya dapat memperkenalkan lagu-lagu saya kepada peminat-peminat di sini,” katanya.