Namun agenda bernafsukan rasa cemburu itu tidak menjadi kenyataan apabila mereka berdepan dengan pengalaman misteri yang benar-benar mengubah cerita hidup lima sahabat karib itu.

Itu adalah sebahagian daripada permulaan filem seram dan thriller, Dreadout yang merupakan naskhah layar perak Indonesia pertama diadaptasi daripada permainan alam maya.

Berbicara tentang Dreadout, pengarahnya, Kimo Stamboel berkata, sebelum memulakan penggambaran, dia sendiri mencuba bermain permainan yang cukup popular itu. Dia mahu merasakan pengalaman yang diperkatakan orang ramai.

“Apabila saya bermain Dreadout, saya tahu permainan ini mempunyai potensi besar untuk berjaya sebagai filem. Sebagai seorang peminat filem seram, saya sendiri teruja dengan permainan ini.

“Malah, teknik menghapuskan makhluk ghaib menggunakan telefon juga sesuatu yang cukup mengujakan. Jadi, untuk filem ini, saya suai padankan konsep permainan dengan cerita-cerita seram yang popular,” katanya.

Cukup popular dengan barisan filem-filem hebat antaranya Dara, Rumah Dara, Killers dan Headshot, sebagai pengarah, Kimo menjanjikan sebuah filem yang mampu menaikkan bulu roma penonton.

“Apa yang menjadikan filem ini menarik adalah jalan cerita dan lakon layar yang berbeza. Bagaimana dari sebuah permainan kita terjemahkan menjadi filem, itu cabaran besar buat saya.

“Malah, dengan lakonan-lakonan hebat dan juga efek visual serta bunyi, filem ini menjanjikan sesuatu yang berbeza,” katanya.

SALAH satu adegan filem yang boleh membuatkan penonton terpaku di atas kerusi.
SALAH satu adegan filem yang boleh membuatkan penonton terpaku di atas kerusi.

Pengalaman misteri lima sahabat

Dibintangi pelakon berbakat besar antaranya Caitlin Halderman, Marsha Aruan, Jeffri Nichol, Irsyadillah dan Miller Khan, filem ini berkisarkan kisah lima sahabat yang mahu menjadi popular.

Pengalaman misteri lima sahabat itu bermula apabila mereka membuat keputusan untuk memancarkan video seram secara langsung di sebuah bangunan lama semata-mata untuk meraih pengikut ramai dalam media sosial.

Terkenal dengan cerita-cerita seram, lima sahabat itu merakam setiap langkah sepanjang pengembaraan mistik mereka di situ. Namun, segalanya berubah apabila mereka memasuki sebuah bilik terlarang di tingkat enam.

Filem yang sudah ditayangkan di Indonesia Januari lalu itu semakin memuncak adrenalinnya apabila bilik tersebut tiba-tiba sahaja dipenuhi air warna hitam dan kemunculan seorang wanita misteri berkebaya merah.

Nasib kelima-lima sahabat itu hanya akan diketahui apabila anda semua menonton filem yang bakal menjengah ke pawagam tempatan 18 April depan. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi.