Sebagai pasangan suami isteri yang sama-sama menjadikan pengacaraan sebagai salah satu cabang seni, Scha dan Awal entah mengapa tidak begitu gemar andai digandingkan bersama.

Namun, apabila kedua-duanya muncul mengacarakan majlis berbuka puasa Astro secara langsung baru-baru ini, ramai menganggap barangkali mereka sudah membuang prinsip yang dipegang selama ini.

Mengaku tidak mahu terlalu kerap bergandingan sama, Scha misalnya, menganggap gabungan mereka berdua sebenarnya keras bak batu.

“Memang susah nak tengok kami berdua mengacara di satu pentas yang sama. Malah, kami sendiri cuba mengelak perkara ini.

“Bukan sebab tak sudi, tapi bayangkan kami ni selalu sangat bersama, di rumah. Takkanlah nak bekerja pun sama-sama juga.

“Jangan salah faham, kami bukan tak nak, tetapi kalau boleh cuba hadkan,” katanya Scha.

Menyedari sejak akhir-akhir ini ada banyak pihak memberi tawaran kerjasama kedua-dua mereka, si jelita berusia 35 tahun ini sebenarnya ada rasa gementar.

Walaupun ramai menganggap dia dan Awal pasangan serasi, namun untuk mengacara sesebuah acara atau majlis bersama, itu memberikan tekanan buat Scha.

“Saya tahu bagaimana bekerja dengan Awal, kami berdua berbeza. Dia seorang yang sangat relaks manakala saya lebih serius dan terlalu mahukan kesempurnaan.

“Macam dua pertembungan cara yang berbeza andai meletakkan kami satu pentas. Tempoh hari saya bersetuju kerana ia sebuah majlis santai dan kebetulan boleh berbuka puasa bersama.

“Kalau tidak kami memang bawa haluan berbeza apabila tiba bab kerja,” katanya.

Ada kelemahannya – Awal

Bersetuju dengan Scha, kata Awal meski orang melihat banyak kelebihannya apabila mereka mengacara bersama sebagai suami isteri, kadangkala ada kelemahannya juga.

Walaupun sudah berpengalaman hampir 16 tahun, Awal masih merasakan gandingannya dengan  Scha sebagai pengacara mungkin sukar meraih keserasian.

“Ya, walaupun kami sudah berkahwin hampir tujuh tahun, tetapi bab kerja ada bezanya.

“Ada ketika, cara kami bercakap dan berfikir berbeza. Walau orang kata suami isteri banyak
berkongsi perkara, tapi bila kami di pentas ada sahaja kelemahannya dan tak serasi,” katanya.

Memandangkan ada tawaran untuk melihat kedua-duanya bersama untuk sebuah program televisyen selepas ini, Awal sedar keserasian itu perlu dicari semula.

“Selama ini kami tak pernah terfikir untuk bekerjasama sebagai pengacara sebab lebih selesa secara solo. Kalau sudah ada permintaan, kami perlulah berikan yang terbaik.

“Susah memang susah sebab bagi saya, Scha lebih dominan ketika di pentas. Sebab itu saya sering dipasangkan dengan pasangan pengacara yang tidak dominan.

“Tapi hakikatnya saya okey sahaja dengan Scha. Kebimbangan itu lebih pada dia bukan saya. Pada akhirnya nanti, setiap pasangan pengacara perlu bijak memberi dan menerima,” katanya.

Betul ke anak kita ni?

Berkongsi mengenai permata kesayangan mereka, pasangan suami isteri ini gembira kerana Lara menunjukkan kecenderungan terhadap dunia seni.

“Saya dan Awal saling tertanya, betul ke anak kita ni? Bayangkan, dia suka sangat menyanyi dan menari, sampai panjat meja dan suruh kami berdua tepuk tangan tanda sokongan.

“Kami nampak dia macam suka dengan perhatian. Memang orang kata, darah seni tu mengalir kuat dalam badan.

“Tapi kalau boleh, saya dan Awal mahu dia masuk bidang lain sebab tahu bagaimana sukarnya nak membina tapak dalam industri seni,” katanya.

Kongsi Scha lagi, dia melihat karektor Awal sangat menebal dalam diri Lara dan diakui oleh suaminya sendiri.

Tambah Awal, dari satu sisi dia melihat sikap inginkan perhatian itu mampu memberi nilai tambah buat Lara.

“Sekurang-kurangnya dari kecil dia sudah mampu membina keyakinan dalam diri. Melihat cara dia bersosial pun okey kerana sesetengah kanak-kanak seusia masih malu untuk ke depan.

“Tapi diharapkan janganlah terlalu yakin sangat ya wahai anak!” seloroh Awal.