Namun, pelakon ini bersikap tenang sahaja berdepan kontroversi berkenaan.  Walaupun mengakui pada awalnya dia terasa hati, Ashraf bertindak secara profesional dan tidak mahu melatah sama. 

“Saya pernah lalui dugaan yang lagi besar daripada ini. Pada saya apa yang sedang dilalui ketika ini hanya perkara kecil,” kata Ashraf memulakan bicara kepada Hits.  

Aktor berusia 37 tahun itu menjawab khabar angin konon namanya juga antara yang menjadi sasaran disenaraihitamkan oleh A.Aida ekoran kes tersebut. 

Berlapang dada mendepani isu yang sedang hangat diperkatakan sehingga menimbulkan kekesalan dan rasa terkilan produser tebabit, Ashraf bagaimanapun akui pada mulanya terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut A.Aida.

“Memanglah bila cerita itu keluar saya agak terkejut, tetapi saya bukannya orang baharu dalam industri ini, justeru saya mengambil pendekatan  bersabar dan rileks.

“Orang pertama yang saya tanya selepas isu itu keluar ialah ahli keluarga. Mereka menasihati saya untuk rileks  dan percaya isu itu akan bertahan sekejap sahaja.

“Saya tak anggap kontroversi ini satu beban besar untuk dihadap kerana saya tidak buat salah pun. 

“Sebelum ini lagi besar dugaan yang saya lalui. Jadi, saya rasa tidak perlu hendak diperbesarkan lagi,” ulasnya ketika ditemui di pejabat A.Aida Productions Sdn. Bhd, di Setapak, Kuala Lumpur.

Satu hal harus dicontohi sikap anak kelahiran Melaka ini apabila dia lantas menghubungi produser berkenaan bagi mengetahui siapakah pelakon yang dimaksudkan.

Tidak mahu dipersalahkan dan orang luar membuat andaian tidak berasas, pelakon Biar Aku Jadi Penunggu itu meminta peminat untuk tidak menuding jari kepadanya.

“Bila A.Aida nak boikot pelakon utama Dia Menantu Rahsia, saya akui terasa hati walaupun beliau tak sebut nama secara spesifik.

“Saya hubungi A.Aida dan beliau telah menjelaskan semuanya. Saya pun lega kerana bukan saya yang dimaksudkan. Harap lepas ini jangan libatkan saya lagi dengan hal ini. Malah A.Aida pun sudah keluarkan kenyataan,” tuturnya.

Ashraf berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk  bekerjasama dengan pelakon Dia Menantu Rahsia jika diberi peluang untuk bersama di bawah produksi lain.

“ Saya tak kisah berlakon dengan siapa saja selagi tidak memberi masalah kepada saya. 

“Fokus saya adalah berlakon untuk mencari rezeki. Asalkan masing-masing selesa dan boleh faham apa yang diarahkan pengarah, saya tiada masalah untuk bekerja dengan mereka,” tegasnya.