Antara karya yang telah dibawa menerusi transisi itu ialah Alice In Wonderland, Maleficent, Cinderella, The Jungle Book dan Beauty and The Beast.

Menariknya, percaturan Disney membawa naskhah tersebut daripada dunia animasi ke dunia ‘nyata’ berjaya membawa keuntungan besar.

 

Mungkin juga kerana formulanya mudah, dengan menjual semula jenama animasi nostalgia zaman kanak-kanak yang popular sepanjang zaman.

Meneruskan usaha itu, Disney kini membawakan pula filem Aladdin yang pernah diterbitkan pada 1992 dengan nafas baharu.

Berbanding filem lain, Aladdin sebelum ditayangkan di pawagam telah terlebih dahulu mendapat kritikan daripada banyak pihak.

Kontroversi

Mencipta kontroversi tersendiri, ramai dalam kalangan peminat filem animasi ini menganggap terdapat beberapa aspek dalam versi baharu ini yang mampu mengundang risiko.

Paling ketara adalah dari segi pemilihan barisan pelakon utamanya.

Peminat menganggap, tindakan meletakkan Mena Massoud sebagai Aladdin dan Naomi Scott sebagai Jasmine kononnya tidak kena.

Tetapi perihal itu masih berada dalam kategori minoriti kerana watak yang paling banyak menerima kecaman adalah Genie yang menghuni lampu ajaib yang dimiliki oleh Aladdin.

Dilakonkan oleh Will Smith, watak jin berwarna biru tersebut sepatutnya dimainkan oleh orang lain dan pemilihan Will dianggap adalah perkara terakhir dilakukan oleh pihak Disney.

Itu sememangnya agak sukar buat Will memandangkan selama ini Genie amat sinonim dengan mendiang pelakon ikon, Robin Williams yang pernah meminjamkan suaranya untuk watak itu.

Secara logik, sukar buat sesiapa pun yang pernah menonton filem animasi itu ketika zaman kanak-kanak untuk menerima ‘orang baharu’ sebagai Genie lantaran sudah sebati dengan nostalgia sedia ada.

Pun begitu, masih ada sebahagian besar penonton yang merasakan Will punya caranya tersendiri sebagai Genie sekali gus membuang bayangan Robin.

Mungkin ada benarnya kata Will, ini bukan soal siapa mampu melakonkan dengan lebih hebat tetapi bagaimana ia dizahirkan menerusi perbezaan semasa.

Meski tidak sempurna secara keseluruhan, naskhah Aladdin versi 2019 masih mampu memberikan senyuman buat para peminat filem animasi ini.

Menerima komen positif daripada penonton, ternyata kontroversi pemilihan pelakon tidak terlalu memberi impak ke atas minat dan keterujaan penonton untuk ke panggung wayang.

Sekurang-kurangnya lagu ikon filem Aladdin, A Whole New World dan A Friend Like Me tidak diubah dan tetap melekat di hati peminatnya.