Ayah arwah, Mahamed Ismail Mohamed Yusoff, 69, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu yang mesra dengan panggilan Mamaji dalam keluarga meninggal dunia kira-kira pukul 4.00 pagi tadi di kediaman mereka di Telipot, Kota Bharu.

Beliau berkata, dalam tempoh sebulan ini, arwah demam dan terpaksa keluar masuk hospital akibat jangkitan paru-paru sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

“Adam adalah anak yang tersangat baik, dia menghormati seluruh ahli keluarga dan saudara mara tanpa mengira tua muda dan amat disayangi lapan orang anak saudara.

“Sudah tentu kami sedih dengan pemergiannya tetapi kami redha, segala urusan dari solat jenazah hingga pengebumian berjalan dengan lancar dalam tempoh sejam sahaja, doakanlah anak saya agar segala dia ditempatkan kalangan orang beriman,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan di sini hari ini.

Turut kelihatan, ibu arwah, Bibi Aishah Hukum Khan, 67.

Terdahulu, jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Telipot di Kota Bharu pukul 10.05 pagi ini yang dipimpin oleh Imam Tua, Ahmad Yunoh.

Kira-kira 150 jemaah terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan menyertai sembahyang jenazah yang juga merupakan bapa sepupu kepada artis terkenal, Neelofa.

Sementara itu, kakak sulungnya, Dr. Nor Ashmiza, 43, berkata, dia yang merupakan seorang pensyarah di United Kingdom (UK) balik ke Malaysia sebulan lalu untuk menjaga Allahyarham.

“Adam orang yang sangat komited dengan kerja sehinggalah kami meminta dia berehat memandangkan keadaan kesihatannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE