Wong Kim Choong

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, program itu dikendalikan oleh The FinLab, pemacu inovasi di bawah United Overseas Bank Ltd.

“Sepanjang tempoh tiga bulan program ini dijalankan, perniagaan yang mengambil bahagian akan menghadiri beberapa siri bengkel dikendalikan oleh pakar-pakar industri untuk memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam bidang transformasi digital tertentu seperti mereka bentuk semula proses perniagaan dan pemasaran digital.

“Mereka juga akan dipadankan dengan rakan teknologi yang dipilih khusus untuk merintis penyelesaian relevan dan dibim­bing untuk menilai keberkesanan semua penyelesaian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, penganjuran program tersebut juga mengesahkan komitmen bank tersebut untuk membantu perniagaan di Malaysia beralih kepada digital bagi pertumbuhan berterusan.

“Program Jom Transform akan membantu perniagaan mengubah operasi mereka kepada digital dan seterusnya menyokong agenda nasional me­ngenai inovasi perniagaan.

“Dengan menggu­nakan tek­nologi, perniagaan di Malaysia dapat menguruskan operasi mereka de­ngan lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan memantapkan kemahiran pekerja mereka untuk memastikan perniagaan kekal relevan dalam ekonomi digital.

“Bagi membantu syarikat ini terus berkembang, kami juga akan membantu mereka melebarkan sayap dalam negara mahupun di rantau ini melalui rangkaian UOB yang kukuh dan bersepadu,” katanya.

The FinLab mengendalikan program pecutan yang menumpukan kepada memacu pertumbuhan teknologi kewangan (FinTech) yang inovatif dan syarikat teknologi serta memacu transformasi digital perniagaan.

Sejak penubuhannya pada 2015, The FinLab telah mengendalikan dua kitaran program pecutan untuk syarikat-syarikat FinTech terpilih daripada lebih 700 permohonan dari 44 negara.