Menurut peniaga, permintaan terhadap minyak sawit untuk tujuan memasak akan rendah dengan berakhirnya Ramadan.

“Permintaan terhadap MSM dijangka merosot kerana kebanyakan negara khususnya Timur Tengah telah menyediakan keperluan mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Di peringkat tempatan, Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim pada Jumaat berkata kerajaan tetap positif dengan sasarannya dalam memastikan 5.85 juta hektar kawasan tanaman sawit di seluruh negara memiliki Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, dengan memastikan industri minyak sawit Malaysia mencapai pematuhan 100 peratus MSPO, ia memberi mesej kepada Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain tentang usaha kerajaan dan pemain industri dalam memulihara kawasan hutan, serta komited ke arah kelestarian dan kemampanan industri sawit.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, bulan semasa Jun 2019 turun RM73 kepada RM1,976 satu tan, Julai 2019 berkurangan RM78 kepada RM2,004 satu tan, Ogos 2019 turun RM85 kepada RM2,013 satu tan dan September 2019 merosot RM91 kepada RM2,029 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 115,519 lot daripada 239,374 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 257,707 kontrak daripada 270,750 kontrak sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Jun Selatan RM40 lebih rendah kepada RM1,990 satu tan berbanding RM2,030 satu tan sebelum ini. - BERNAMA