Pengurus Besar Penyelesai­an Data Pelanggan REA Group Asia, P. Pathmanathan berkata, ia berikutan pangsapuri di bandar berkenaan ditawarkan pada harga diantara RM300,000 hingga RM500,000 sebuah.

 

Beliau berkata, menurut laporan data analisis portal hartanah iProperty.com, separuh pertama 2019, permintaan bagi pasaran perumahan di Pulau Pinang dan Johor bagaimanapun me­nurun sebanyak 4.4 dan 16.1 peratus.

"Ringkasnya, data kami mendapati empat negeri kekal sebagai pasaran perumahan teratas di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

"Permintaan di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 3.8 peratus manakala, Selangor pada 9.8 peratus.

"Kawasan yang paling menjadi tumpuan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor adalah Batu Caves, Dengkil, Batu Kawan dan Batu Pahat," katanya pada sesi taklimat data analisis iProperty.com.my separuh pertama 2019 di sini hari ini.

Tambah Pathma­nat­han, kediaman pangsapuri perkhidmatan dijangka terus menjadi pilihan pengguna berbanding jenis kediaman lain terutama­nya kondominium.

Jelasnya, separuh pertama 2019 menyaksikan rumah jenis berkenaan mengalami pertumbuhan permintaan paling ketara iaitu sebanyak 14.7 peratus.

Beliau berkata, peningkatan itu disebabkan median harga bagi pangsapuri perkhidmatan menurun sebanyak 8.2 peratus kepada RM490,000 sebuah, selain jenis kediaman tersebut lebih mampu milik biarpun di lokasi pusat bandar.

"Pangsapuri perkhidmatan mempunyai daya tarikan tersendiri terutama apabila ia dibina di lokasi yang tepat serta mempunyai akses pengangkutan awam dan pusat komersial.

“Kami percaya permintaan terhadap jenis kediaman ini akan terus meningkat jika berada di lokasi strategik,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, pangsapuri perkhidmatan me­nguasai tiga peratus pasaran kediaman sekunder.

"Selain itu, permintaan rumah teres mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus, le­bih rendah daripada permintaan bagi pangsapuri perkhidmatan biarpun median harga bagi rumah jenis berkenaan adalah RM300,000," katanya.