Manakala pelajar Management And Science University (MSU) kampus Terengganu, Muhammad Shohaimil Hafiz Salleh, 25, pula menjuarai Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri yang juga berlangsung di PSMZA semalam.

Kumpulan Teater Rimba PSMZA yang dianggotai oleh Siti Sari Jaafar, 19, Iswary a/p Shamugam, 18, dan Muhammad Nor Azlan Yusof, 19, menerima hadiah RM3,000 menerusi persembahan mengenai pengisahan sejarah hidup penyair cacat, J.M Aziz.

Kemenangan itu membolehkan Teater Rimba PSMZA mewakili Terengganu ke Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 Peringkat Kebangsaan yang dijadual diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Nerus pada 27 hingga 29 September depan.

Naib juara dimenangi oleh kumpulan Pesona Kreatif dari Kuala Nerus yang mempersembahkan sketsa berjudul Penderhaka Tanah Warisan.

Kumpulan itu disertai Muhammad Adib Alias, 19, Ahmad Fikri Fahmi Abdul Halim, 19, dan Ahmad Zaim Suhail Ahmad Mujahid dan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 disertai lima kumpulan dan tiga lagi kumpulan ialah Mutiara Diman dari Hulu Terengganu, Perwira Bangsa dari Setiu dan Seni Anak Terengganu dari Kuala Terengganu dengan setiap mereka menerima hadiah sagu hati RM1,500.

Sementara itu, johan Pertandingan Pidato, Muhammad Shohaimil menerima hadiah wang tunai RM1,500 menerusi pidatonya bertajuk `Budi Bahasa Budaya Kita’.

Muhammad Shohaimil Hafiz Salleh
JOHAN Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 peringkat negeri Terengganu, Muhammad Shohaimil Hafiz Salleh bersama hadiah yang dimenangi. - UTUSAN ONLINE

Pelajar MSU ini juga akan mewakili Terengganu ke Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kedah pada 6 hingga 8 September depan.

Nurul Fatin Aqilah Rahim dari Besut pula menduduki tempat kedua dengan menerima hadiah RM1000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Syed Mohd. Shafiq Syed Mohd. Suhaimi dari Kuala Nerus yang menerima hadiah RM500.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Zulkifli Mohamad.Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail dan Pengarah PSMZA, Mohd. Fikri Ismail.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu itu merupakan program tahunan sempena sambutan Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan sambutan selain meningkatkan rasa kecintaan serta kebanggaan masyarakat kepada negara. - UTUSAN ONLINE