Dokumentari bertajuk The School That Built a Nation – the 200 Year Legacy menceritakan sejarah penubuhan sekolah tersebut pada 21 Oktober 1816 oleh Reverand Hutchings di Pulau Pinang.

OFAKLS dalam satu kenyataan memaklumkan, Hutchings menubuhkan sebuah sekolah yang bebas daripada sebarang pengaruh agama atau ideologi tetapi membuka peluang kepada semua murid tidak kira kaum atau agama yang inginkan pendidikan.

“Dokumentari ini juga merakamkan perjalanan kereta merentas benua oleh sekumpulan bekas pelajar Penang Free School dari Kuala Lumpur ke Dittisham, England, tempat kelahiran Hutchings.

“Di sana mereka telah bertemu dengan waris Hutchings yang menceritakan beberapa perkara menarik,” katanya dalam kenyataan itu di sini, kelmarin.

Jelasm kenyataan itu lagi, Penang Free School adalah juga sekolah yang dihadiri Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putera Alhaj serta Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddeen Jamalullail; ayahanda baginda, Tuanku Syed Putra Jamalullail, beberapa menteri Kabinet dulu dan sekarang, ahli-ahli korporat dan ribuan rakyat Malaysia yang telah membangunkan negara selama 200 tahun lampau.

Sebagai Penaung Diraja OFAKLS, Raja Perlis akan menghadiri tayangan perdana tersebut diiringi Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Turut dijangka hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Warisan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga merupakan bekas pelajar sekolah tersebut.

Tayangan dokumentari satu jam tersebut akan bermula pukul 9 malam.

Jamuan turut disediakan dari 7.30 malam untuk membolehkan jemputan beramah mesra dan mengimbau kenangan di zaman persekolahan.

Tiket berharga RM100 untuk kelas biasa dan RM1,000 untuk tempat duduk Gold Class boleh didapati daripada Sekretariat OFAKLS atau hubungi Melvyn Lee di talian 012-4263769 dan Adi Satria 019-3262678. - UTUSAN ONLINE