Pertandingan selama sebulan sehingga 20 Ogos ini terbuka kepada semua warganegara yang berumur 15 tahun ke atas untuk menghasilkan karya berdurasi tiga minit.

Menerusi paparan dalam laman sosial Facebook Jabatan Penerangan negeri menjelaskan, genre video adalah terbuka seperti animasi, sketsa, komedi atau dokumentari dengan memilih salah satu tajuk sama ada Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih dan Patriotisme.

Menurut paparan tersebut, peserta hanya dibenar menghasilkan video dalam bahasa Melayu sahaja dan video yang dihasilkan mestilah mempunyai kualiti suara serta visual yang baik.

Penilaian akan dilakukan berdasarkan keaslian, teknik, kreativiti, dan keupayaan untuk menyampaikan mesej secara kreatif.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala tempat kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan lima hadiah saguhati (RM500).

Borang penyertaan boleh dimuat turun menerusi laman web Jabatan Penerangan Perak atau Pejabat Penerangan Negeri dan daerah.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dihantar ke Pejabat Penerangan Daerah bersama karya video pendek yang asli dalam bentuk softcopy (cakera video digital) dengan format video berdefinisi tinggi penuh (HD).

Penyertaan juga boleh dihantar menerusi pos kepada Pejabat Penerangan Negeri Perak.

Orang ramai boleh melayari laman sosial Facebook Jabatan Penerangan negeri Perak atau menghubungi urusetia pertandingan di talian 05-5422 500 untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE