Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kebanyakan pesakit adalah disyaki dijangkiti gejala penyakit seperti influenza (ILI), justeru ia tidak menjadi masalah yang besar.

“Kebanyakan pesakit juga telah keluar wad dan jangkitan tersebut boleh dikatakan terkawal.

“Namun, kita masih memberi peringatan bahawa ILI atau Influenza H1N1, untuk mereka yang memiliki risiko tinggi, supaya tidak memandang ringan. Mereka yang terlibat juga harus mengambil tindakan supaya ia tidak berjangkit kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Kampar di sini hari ini.

Semalam, sebanyak 22 kes baharu dikesan dengan jumlah kumulatif sebanyak 102 orang (101 pelajar dan 1 guru) disyaki mengalami gejala berkenaan.

Bagaimanapun, hanya satu kes masih dirawat serta dipantau di hospital swasta dan berada dalam keadaan stabil.

Sebanyak empat sampel daripada kluster tersebut disahkan positif Influenza A H1N1. - UTUSAN ONLINE